Sakit bahu bukan halangan Jonah pecah rekod Sukma
ATLET meningkat naik dari Sarawak, Jonah Chang Rigan melakukan lontaran sejauh 17.66 meter (m) untuk meraih pingat emas acara lontar peluru lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2024 hari ini.
Catatan yang dilakukan ketika masih dibelenggu kesakitan akibat kecederaan di bahu bagaimanapun telah memadam rekod temasya berusia 14 tahun yang dilakukan oleh Adi Aliffudin Husin, 17.31m di Melaka pada 2010.
Jonah ketika ditemui pemberita berkata beliau sedikit terkilan kerana sepatutnya boleh melebur rekod kebangsaan miliknya 17.89m, namun kesakitan di bahu kiri sedikit menjejaskan balingannya hari ini.
“Saya memang nak buat catatan lebih 18.0m tapi inilah yang terbaik buat masa ini. Saya tak boleh ambil risiko kerana saya masih ada dua lagi acara selepas ini iaitu lempar cakera dan baling tukul besi.
“Memang kecewa tapi saya tidak mahu tunjuk kepada penyokong. Emas satu keputusan yang positif tetapi dari segi lontaran, saya rasa sedikit kecewa,” kata atlet berusia 21 tahun itu.
Jonah akan turun beraksi dalam acara lempar cakera pada Rabu dan baling tukul besi pada Jumaat.
Pingat perak acara lontar peluru lelaki dimenangi wakil Sabah, Pang Hong Seng dengan lontaran 14.38m manakala Wan Muhammad Irfan Wan Mohd Tahar menghadiahkan gangsa buat Kelantan selepas melakukan 13.83m.
Sementara itu, Mohd Shah Sholihin Azshar menyumbang pingat emas buat kontinjen Perak menerusi acara lompat kijang dengan catatan 15.41m diikuti perak milik Muhammad Izzul Haniff Mohd Raffi dari Selangor dengan catatan 14.96m.
Wakil Sabah, Eljoe Gotuoh melakukan lompatan 14.71m untuk gangsa.
Selangor menuai emas kedua menerusi Esther Joy Hong Li Cheng dalam acara 5,000m wanita dengan catatan masa 19 minit 33.12s manakala atlet Perak, Margreat Mary K Johnson dan Tan Zhi Lin masing-masing membawa pulang perak dan gangsa selepas mencatatkan 19:42.15s dan 19:51.46s.
Sementara itu, dalam acara 4x400m campuran, kuartet Johor menyambar pingat emas selepas merakamkan 3:32.67s diikuti Sabah kedua (3:35.65s) dan Perak ketiga (3:37.94s).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!