Lawatan Anwar dianggap penting bagi hubungan Malaysia-India, ASEAN
NEW DELHI - Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke New Delhi amat penting bagi hubungan Malaysia-India serta kerjasama serantau dalam konteks hubungan India dengan ASEAN, menurut liputan media India mengenai pengumuman lawatan itu.
Anwar yang diiringi delegasi peringkat tinggi, berada di India dari 19 hingga 21 Ogos dalam lawatan pertamanya ke negara itu sejak menjadi perdana menteri pada November 2022.
Selain mengembangkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala, Anwar dijangka membincangkan pelbagai isu serantau yang mempunyai kepentingan bersama dengan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi pada Selasa.
Malaysia dan India mengiktiraf kepentingan strategik lokasi mereka di rantau Lautan Hindi, menjadikan kerjasama maritim penting untuk kestabilan serantau, menurut laporan Financial Express.
"Hubungan keseluruhan antara kedua-dua negara meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini," kata agensi berita PTI dalam satu laporan, mengumumkan lawatan tiga hari itu.
Menggariskan hubungan ekonomi mereka yang semakin meningkat, laporan media India menyebut bahawa India dan Malaysia sedang dalam proses mengukuhkan rangka kerja untuk menjalankan perdagangan dalam mata wang negara.
Dengan Malaysia menyatakan minatnya untuk menyertai kumpulan BRICS, India dan Malaysia berkemungkinan melihat lebih banyak persamaan untuk kerjasama dalam isu pelbagai hala, menurut pengulas.
Perdagangan dua hala pada 2023 bernilai RM76.62 bilion (AS$16.53 bilion), dengan Malaysia menikmati lebihan sebanyak RM15.89 bilion (AS$3.43 bilion).
Perdagangan komoditi, terutamanya eksport minyak sawit Malaysia ke India, kerjasama pertahanan, dan pembuatan semikonduktor dilihat sebagai bidang utama pengembangan selanjutnya dalam hubungan.
Media juga telah menekankan kepentingan lawatan itu memandangkan Malaysia menjadi pengerusi ASEAN mulai tahun depan.
India dan blok Asia Tenggara sedang membincangkan semakan semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) untuk menjadikannya lebih memudahkan perdagangan.
Kementerian Luar Negeri India dalam pengumumannya pada Ahad menyatakan bahawa hubungan dua hala telah dinaikkan kepada status "Perkongsian Strategik yang Dipertingkatkan" pada 2015 semasa lawatan Modi ke Malaysia.
Lawatan itu akan membuka jalan untuk mengukuhkan lagi hubungan India-Malaysia "dengan merangka agenda kerjasama pelbagai sektor untuk masa depan," katanya.
Komposisi delegasi Anwar menunjukkan kepentingan Malaysia terhadap penglibatan diplomatik dengan India.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengiringi Anwar dalam lawatan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!