'Tunaikan hasrat Istiqomah mahu pulang ke rumah' - Adik

Suasana di rumah keluarga Allahyarhamah Istiqomah ketika menunggu jenazah tiba di Kubang Badak, Pasir Mas pada Isnin. (Gambar kecil: Muhammad Irffan)
Suasana di rumah keluarga Allahyarhamah Istiqomah ketika menunggu jenazah tiba di Kubang Badak, Pasir Mas pada Isnin. (Gambar kecil: Muhammad Irffan)
A
A
A

PASIR MAS - Ahli keluarga mengambil keputusan membawa pulang jenazah Allahyarhamah Istiqomah Ahmad Rozi ke rumah ibu bapanya di Kubang Badak dekat sini seketika sebelum dikebumikan bagi menunaikan hasrat arwah untuk pulang ke kampung halaman sebelum ini.

Adiknya, Muhammad Irffan Ahmad Rozi, 31, berkata, arwah yang berusia 33 tahun itu sebelum ini pernah menyatakan akan bertemu lagi pada Hari Raya Aidilfitri (April lalu) ketika mereka sekeluarga bercuti di Selangor sehari sebelum kehilangan Istiqomah.

“Kami bersama ibu dan bapa berjumpa semasa percutian keluarga di Pantai Morib, Kuala Langat pada 24 Disember tahun lalu.

“Ketika masing-masing hendak pulang pada keesokan harinya, dia jenguk ke luar tingkap kereta dan melambai mengucapkan selamat tinggal sambil berkata 'kita jumpa raya nanti', namun dia lebih dahulu hilang pada 26 Disember.

"Jadi, kami sekeluarga membawa pulang jenazahnya ke Pasir Mas hari ini dan akan disolatkan sekali lagi,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga arwah di Kampung Badak pada Isnin.

Jenazah guru juga anak sulung daripada dua beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Bandar Pasir Mas, pada Isnin malam.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Sukiman Ya, 53, menyifatkan Istiqomah seorang yang baik dan pemurah selain tidak menjangkakan perkara sekejam itu diperlakukan kepadanya oleh sesiapapun.

Artikel Berkaitan:

Gambar kenangan Allahyarhamah Istiqomah (kiri) bersama Mohd Yusoff (kanan).
Gambar kenangan Allahyarhamah Istiqomah (kiri) bersama Mohd Yusoff (kanan).

“Tak sangka langsung orang buat begini kepadanya. Dalam ramai anak saudara, dia saya paling sayang kerana masa kecil dia tinggal bersama saya dan neneknya.

“Saya sukar untuk menerima perbuatan pelaku, namun tetap reda dengan ketentuan Ilahi atas ujian ini,” ujarnya.

Pada 6 Januari lalu, mayat wanita tanpa kepala, tangan dan kaki ditemukan dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang.

Pada 12 Ogos lalu, polis mengesahkan mayat berkenaan adalah Istiqomah Ahmad Rozi, yang dilaporkan hilang.

Bahagian badan mangsa ditemukan di peringkat awal dan peringkat kedua kepala dan tulang jari dijumpai.

Proses penyerahan badan dan kepala tanpa kedua-dua kaki dan tangan arwah kepada ahli keluarga serta suaminya, Mohd Yusoff Mokhtar, 35, berjalan dengan lancar sebelum dibawa dari Melaka ke kampung halamannya di Pasir Mas untuk dikebumikan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!