Satu rekod kebangsaan, empat rekod Sukma dari kolam renang
ACARA renang Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang membuka tirai di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini hari ini, menyaksikan satu rekod kebangsaan dan empat rekod temasya diperbaharui.
Perenang Selangor Andrew Goh mencatatkan rekod kebangsaan baharu satu minit 01.39 saat (s) untuk meraih emas acara 100 meter (m) kuak dada lelaki.
Catatan itu bukan sahaja memadam rekod kebangsaan miliknya 1:02.30s yang dilakukan pada Mei di Terbuka Malaysia, tetapi juga memperbaharui rekod Sukma 1:03.05s dilakukan Wong Fu Kang pada edisi 2016 di venue sama.
"Saya telah berlatih bersungguh-sungguh dengan jurulatih (skuad kebangsaan) Eric Anderson. Saya akhirnya mendapat teknik selepas melakukan rutin sama berulang kali. Namun, masih ada perkara perlu diperbaiki untuk menjadi lebih pantas," katanya kepada pemberita.
Perenang Wilayah Persekutuan Cham Yu Xiang tiba di tempat kedua dengan 1:04.55s untuk perak manakala gangsa dengan catatan 1:04.98s milik Emmanuel Low Yung Ming dari Sabah.
Skuad renang Wilayah Persekutuan cemerlang pada hari pertama di kolam renang apabila menyambar tiga pingat emas serta memperbaharui tiga rekod temasya.
Muhammad Dhuha Zulfikry memperbaharui rekod 16 tahun milik bekas jurulatihnya Daniel Bego dalam acara 200m gaya bebas selepas melakukan 1:50.03s untuk meraih emas manakala Jayden Goh Li Jie dari Selangor perak (1:52.55s) dan Henry Goh Li Hen (1:54.23s) gangsa.
Catatan berkenaan memperbaharui rekod Danel yang dilakukan pada Sukma 2008 iaitu 1:51.05s.
“Saya tak jangka pecah rekod hari ini, yang saya pasti akan menang emas untuk Wilayah Persekutuan. Saya sangat bangga dengan kejayaan di Sarawak di hadapan ahli keluarga, kerana bapa saya berasal dari Kuching, ibu dari Sibu,” katanya.
Seorang lagi perenang Wilayah Persekutuan, Jayden Tan merakamkan 4:26.94s sebagai rekod temasya baharu acara 400m rampaian individu, 4:30.48s yang dilakukan pelumba Johor, Tia'a Faang Der pada 2018.
Henry Goh dari Selangor dan Jing Ngui dari Negeri Sembilan masing-masing mencatatkan 4:35.57s dan 4:42.53s untuk perak dan gangsa.
Satu-satunya rekod acara wanita dilebur oleh Chong Xin Lin yang melakukan 29.74s dalam acara 50m kuak lentang, memadam rekod temasya miliknya 30.13s yang dilakukan ketika saringan pagi tadi.
Perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Wei Wen Lee juga dari Wilayah Persekutuan (30.39s) dan Vivian Tee Zin Ling dari Pulau Pinang (30.81s).
Wilayah Persekutuan menyambar tiga emas daripada lapan yang dipertandingkan, diikuti tiga perak dan dua gangsa.
Tuan rumah pula meraih tiga emas, Selangor (satu) manakala Johor (satu). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!