Along salah rumah simbah cat
JEMPOL - Seorang lelaki terkejut apabila mendapati ruang hadapan rumah sewanya disimbah dengan cat berwarna merah disyaki dilakukan oleh pemberi pinjaman wang secara haram (along) dalam kejadian di Bahau pada Isnin.
Mangsa yang berusia 20-an berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab itu turut meninggalkan nota bertulis 'last warning' berserta nama individu yang tidak dikenalinya.
"Saya sedar ada cat merah ketika saya ingin keluar bekerja kira-kira jam 7.30 pagi tadi, ia mengenai lantai bahagian hadapan rumah dan kereta saya.
"Ada nota ditinggalkan dalam peti surat, saya tidak mengenali individu yang dimaksudkan malah saya sendiri tidak pernah membuat pinjaman daripada along. Perkara ini juga telah saya maklumkan kepada pemilik rumah," katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.
Menurutnya, ia merupakan kejadian pertama sejak dia menyewa rumah berkenaan setahun lalu dan laporan polis telah dibuat bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan.
"Saya harap perkara ini tidak berulang kerana ia menyusahkan saya terutamanya kereta yang melibatkan kos untuk membersihkannya selain lantai rumah," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, berdasarkan siasatan, simbahan cat merah berkenaan mengenai bahagian lantai hadapan rumah dan tembok pagarnya serta percikan cat pada kenderaan pengadu.
"Pengadu iaitu penyewa memaklumkan sebelum kejadian kira-kira jam 10.30 malam Ahad, rumah dan keretanya berada dalam keadaan baik.
"Pemilik rumah menyatakan ini adalah kejadian pertama sejak dia membeli rumah tersebut. Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian," katanya ketika mengesahkan laporan berkenaan.
Beliau berkata,usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan sebaik menerima laporan daripada pengadu kira-kira jam 3.37 petang tadi.
"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!