Dua mayat dalam longkang dipercayai ibu dan anak, ada kesan kelar di leher

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Penemuan dua mayat iaitu seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan di dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim dekat pada Isnin dipercayai sebagai ibu dan anak.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, mangsa masing-masing berusia 34 dan 10 tahun itu ditemui oleh orang awam sebelum bertindak menghubungi pihak polis pada jam 5.04 petang.

Menurutnya, pasukan penyiasat telah dihantar ke lokasi bagi melakukan siasatan awal.

"Siasatan di lokasi kejadian mendapati kedua-dua mayat yang lengkap berpakaian, namun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

"Kedua-duanya ditemui mati dalam keadaan tertiarap dan terlentang berdekatan antara satu sama lain di dalam longkang kecil dengan kesan kelar pada leher di kedua-dua mayat," katanya dalam satu kenyataan pada pagi Selasa.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang dipercayai warga asing itu kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi tujuan bedah siasat.

Dalam pada itu, Siti Nor Salawati berkata, hasil risikan pantas yang dilakukan, polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 43 tahun yang merupakan suami dan bapa kepada mangsa bagi membantu siasatan.

Tambahnya, lelaki terbabit berjaya ditahan di Masjid Bukit Pinang pada jam 9 malam pada Isnin dan polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar pada Selasa bagi tujuan permohonan tahanan reman untuk meneruskan siasatan lanjut.

"Polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.

"Polis juga meminta kerjasama daripada individu atau pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk tampil memberi keterangan di mana-mana balai polis berhampiran, atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar, Asistan Superintenden Faizul Izuan Harun di talian 047747222," katanya.

Sementara itu, Siti Nor Salawati berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan dua mayat wanita ditemui berpakaian lengkap di dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim.

Mangsa ditemukan bersebelahan di antara satu sama lain dan terdapat kesan kecederaan namun identiti mereka belum dikenal pasti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!