Kes bunuh wanita, kanak-kanak membimbangkan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

TRAGEDI pembunuhan wanita dan kanak-kanak di negara ini amat membimbangkan. Kes-kes itu bukan sahaja menjejaskan individu yang terlibat tetapi juga masyarakat secara keseluruhannya.

Kes pembunuhan tersebut sering kali menjadi tajuk utama berita, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan tentang keselamatan, keadilan dan pencegahan jenayah.

Buktinya, kes dengan pelbagai modus operandi menyasarkan kanak-kanak serta wanita berlaku satu demi satu dalam tempoh singkat, seolah-olah penjenayah tidak lagi takut terhadap hukuman yang menanti mereka di mahkamah.

Adakah Malaysia kini tidak selamat untuk golongan berkenaan atau pemansuhan hukuman gantung mandatori jadi punca penjenayah makin berani?

Pakar kriminologi berpandangan ketidakupayaan kelompok berkenaan mempertahankan diri kerana faktor kekuatan dan saiz fizikal kecil menyebabkan mereka lebih berisiko menjadi mangsa jenayah terutama bunuh dan rogol.

Selain itu, tekanan hidup, akses terlalu mudah kepada media sosial, ketagihan pornografi dan gajet terutama dalam kalangan anak muda selain faktor persekitaran juga dikatakan antara penyumbang utama mendorong seseorang itu melakukan jenayah.

Justeru, pihak berkuasa perlu tingkatkan pelaksanaan kempen pencegahan jenayah di peringkat komuniti yang memfokuskan golongan berisiko ini sebagai salah satu pendekatan dalam memperkasa wanita dan kanak-kanak sebagai inisiatif pencegahan jenayah.

Program-program pendidikan di sekolah dan komuniti wajar dijalankan untuk mendidik orang ramai mengenai bahaya keganasan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, agensi terlibat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh turut memainkan peranan menyediakan akses kepada perkhidmatan sokongan psikologi serta kesihatan mental, ia penting untuk mencegah individu daripada bertindak secara ekstrem.

Program intervensi awal boleh membantu individu yang mengalami masalah mental untuk mendapatkan bantuan sebelum keadaan bertambah buruk.

Dalam pada itu, ibu bapa atau penjaga merupakan individu paling bertanggungjawab mengawasi dan memantau setiap gerak geri anak-anak khususnya mereka yang sudah meningkat remaja. Ambil cakna segala aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak serta mengetahui latar belakang rakan sebaya mereka.

Kerjasama antara pihak berkuasa, komuniti dan individu merupakan kunci kepada kejayaan dalam menangani dan mencegah pembunuhan yang tragik ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!