Rozaid bersemadi bersama sejarah unik dalam hidupnya
SHAH ALAM - Rozaid Abdul Rahman telah mengabdikan dirinya selama 40 tahun dalam bidang kewartawanan dan mempunyai begitu banyak sejarah hidup yang sangat unik.
Saya mula mengenali beliau pada Januari 2021, apabila beliau memulakan kerjayanya sebagai Ketua Pengarang Sinar Harian.
Sejak itu, saya mendapati beliau adalah sosok yang cukup istimewa, tenang, tidak lokek memberikan pujian kepada kakitangan menyebabkan sesiapa sahaja akan dapat motivasi tinggi apabila bekerja dengannya.
Beliau juga banyak menceritakan sejarah hidupnya yang amat luar biasa.Satu daripada kisah tersebut ialah pertemuan dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ketika membuat liputan perjanjian damai antara kerajaan Malaysia dengan PKM di Hatyai, Thailand.
Beliau menulis kisah pertemuan itu dengan mendalam dan boleh dibaca menerusi portal Mstar ketika menjawat jawatan sebagai Pengarang Bersekutu portal tersebut.
Namun, yang tidak ditulis ialah beliau dicabar oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainudin Maidin ketika itu untuk mendapatkan berita eksklusif dan berjanji untuk menaikkan gaji Rozaid jika beliau berjaya menemu bual Chin Peng.
Rozaid berjaya dan laporan pertemuan itu dijadikan muka depan Utusan Malaysia dan beliau juga mendapat kenaikan gaji.
Selain itu, beliau juga mencatat sejarah sebagai wartawan Malaysia yang pertama memasuki terowong yang dibina oleh anggota-anggota PKM di sempadan Malaysia-Thailand.
Satu lagi kisah penting yang berlaku dalam hidupnya ialah ketika menulis tentang laporan muka depan mengenai badak Sumatra milik Perhilitan yang akan dihantar ke Bangkok sebagai hadiah kepada Raja Thai.
Laporan itu tidak disenangi oleh pihak istana dan beliau telah dipanggil menghadap dan dimarahi pada ketika itu.
Bagaimanapun, pihak istana memberikan keampunan dan beliau diberikan peluang untuk meminta apa sahaja.
Apa yang terlintas dalam fikiran Rozaid pada ketika itu hanyalah mahu memiliki lesen dan beliau dikurniakan dengan semua lesen kenderaan kecuali lesen memandu kapal terbang.
Namun secara berseloroh beliau ada menyatakan kekesalan mengenai perkara itu dan berkata: “Sepatutnya aku minta sebidang tanah dan sebuah banglo di Kuala Lumpur, mesti aku sudah kaya raya.”
Saya juga pernah meminta beliau menulis secara terperinci mengenai apa yang berlaku kepada dirinya, tetapi Rozaid tidak berhasrat untuk berbuat demikian dan membiarkan ia kekal dalam lipatan sejarah hidupnya sahaja.
Secara peribadi, saya amat mengagumi beliau sebagai seorang ketua yang banyak berjasa kepada Sinar Harian kerana memberikan satu perspektif baharu dalam dunia media cetak yang berdepan dengan cabaran pada masa ini.
Beliau tidak mengizinkan sesuatu berita yang sudah agak basi untuk dijadikan sebagai muka depan akhbar, sebaliknya mahu para pengarang dan wartawan memikirkan laporan berita yang berada di hadapan dan melangkaui masa.
Bagi Rozaid ia merupakan corak pemikiran yang perlu ada kepada media-media cetak yang berdepan dengan persaingan versi dalam talian yang lebih pantas pada masa ini.
Semasa saya melangkah masuk ke halaman rumahnya pada malam Ahad lalu, saya melihat sekujur tubuh Allahyarham berada di ruang tamu.
Dengan hati yang amat hiba, saya berdoa agar ALLAH SWT memberikan rahmat kepada rohnya dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!