Kerangka komprehensif pacu sukan negara
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) disaran memperkasa kerangka sukan yang komprehensif bermula di peringkat akar umbi sehingga mampu melahirkan juara dunia sekali gus berupaya meraih pingat emas di Sukan Olimpik.
Penganalisis Sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, program tersebut perlu dijalankan secara menyeluruh serta berterusan tanpa putus dari dengan proses pencungkilan bakat baharu sehingga menjadi atlet elit yang mampu mencabar pesaing di pentas antarabangsa.
Beliau berkata, ia perlu dilaksana secara serius menerusi penglibatan pelbagai pihak dan pemegang taruh selain Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), bekas atlet dan ibu bapa.
“Ini misi besar (emas Olimpik) dan ia sewajarkan dimulakan sekarang dengan sasaran Sukan Olimpik Los Angeles 2028 yang berbaki empat tahun dan untuk kitaran Olimpik seterusnya,” katanya kepada Sukan Sinar.
Beliau menjelaskan KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) sudah boleh mengenal pasti sukan baharu yang berpotensi buat Malaysia untuk meraih pingat di Olimpik seperti sukan memanjat dinding dan papan selaju selain memperkasa angkat berat.
“Malaysia tidak boleh bergantung semata-mata kepada sukan tradisi seperti badminton, basikal dan terjun, namun perlu turut memberi fokus kepada sukan kurang popular,” katanya.
Menurut Pekan, PSK juga perlu memainkan peranan yang lebih serius untuk melahirkan jaguh dunia menerusi pencungkilan bakat baharu, program latihan tersusun dan pertandingan kompetitif di dalam dan luar negara.
Beliau berkata, dana secukupnya perlu disalurkan kepada PSK agar segala program yang dirancang dapat dilaksana dengan lebih berkesan tanpa berdepan kekangan kewangan.
“Usah jadi seperti tin kosong. Kita mahu persatuan lahirkan atlet berkualiti, tapi mereka kata tidak cukup dana. Jadi peruntukan perlu disalurkan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau menambah, program juara melahirkan juara juga boleh dilaksanakan dengan pemenang pingat di Olimpik diberikan satu projek untuk melahirkan jagoan dunia.
“Misalnya Datuk Lee Chong Wei yang pernah menghuni ranking nombor satu dunia, menang tiga kali pingat perak di Olimpik. Mungkin tidak berminat menjadi jurulatih, tapi beliau menguruskan satu projek melahirkan juara dunia.
“Begitu juga dengan Datuk Nicol David. Biarpun skuasy baru nak dipertandingkan di Los Angeles, namun reputasinya sebagai juara dunia mampu melahirkan jagoan sukan sehebat beliau.
“Atlet lain seperti Datuk Pandalela Rinong dan legenda berbasikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang juga boleh memainkan peranan yang besar dalam projek ini," katanya.
Pekan juga berpandangan program Road To Gold (RTG) wajar diteruskan dengan strukturnya perlu diperkemas selain peranan lebih besar diberikan kepada bekas atlet.
“Kita boleh meniru cara China melahirkan jaguh dunia, cuma adakah kita bersedia dengan corak latihan keras yang diterapkan. Begitu juga dengan Korea Selatan mereka sudah mampu melahirkan juara dunia pada usia belasan tahun.
“Kenapa mereka berjaya. Bermula dari awal peringkat usia muda dan konsisten dari bawah sehingga menjadi atlet elit dan bergelar juara dunia,” katanya.
Kontinjen Malaysia menutup Sukan Olimpik 2024 di Paris hasil sumbangan pingat gangsa dari pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
“Kita kagum dan bangga dengan semangat juang atlet di Paris, tapi ia belum cukup untuk gapai emas di Olimpik. Malaysia perlu melahirkan atlet yang berada di ranking pertama hingga lima dunia dan peluang emas itu lebih cerah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!