Naik gaji: Peniaga tiada hasrat naik harga

Kebanyakan peniaga tidak akan menaikkan harga makanan dan minuman susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam yang dibuat pada Jumaat lalu. Gambar hiasan (Gambar kecil Muhammad Azmin (kiri), Muhammad Hazrizal)
Kebanyakan peniaga tidak akan menaikkan harga makanan dan minuman susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam yang dibuat pada Jumaat lalu. Gambar hiasan (Gambar kecil Muhammad Azmin (kiri), Muhammad Hazrizal)
A
A
A

GEORGE TOWN - Kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini tidak akan memberi kesan kepada peniaga makanan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata peniaga ditemui berpendapat, pengumuman tersebut bukan satu alasan untuk peniaga menaikkan harga makanan sebaliknya kenaikan harga makanan bergantung pada harga bekalan bahan mentah.

Pemilik Restoran Nasi Kandar Thaiyyub di Kepala Batas, Muhammad Azmin Mohamed Maideen, 33 berkata, kenaikan gaji penjawat awam tidak ada kena mengena dengan kenaikan harga barang atau makanan.

Katanya, ia bukan satu alasan untuk premisnya menaikkan harga makanan dan minuman dijual.

“Gaji penjawat awam selalunya tidak akan menyebabkan harga barang naik kerana mereka di bawah kerajaan. Oleh itu, harga makanan dan minuman di restoran saya akan tetap sama, tiada kenaikan.

“Selalunya, harga barang akan naik jika gaji sektor swasta naik. Ini kerana mereka akan menaikkan harga barang untuk membayar gaji pekerja,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pengusaha kedai makan Fatimah Nasi Melayu, Muhammad Hazrizal Md Yusoff, 33, berkata, kenaikan harga makanan di premisnya yang terletak di Kampung Melayu bergantung pada harga barang mentah yang diperoleh daripada pembekal.

Dia yang meneruskan perniagaan diusahakan ibunya lebih 30 tahun lalu berkata, sejak dahulu lagi harga makanan di premisnya tidak pernah dinaikkan terlalu tinggi berikutan mendapat bekalan bahan mentah daripada pembekal pada harga yang murah.

Artikel Berkaitan:

“Harga makanan di premis saya bergantung kepada harga pembekal. Tidak pernah kami naikkan harga makanan disebabkan gaji pelanggan. Malah, saya baru turunkan harga lauk seperti ayam.

“Sebelum ini, saya jual seketul ayam antara RM4.50 hingga RM5 tetapi sejak dua minggu lalu, saya jual RM3.50. Ini kerana, saya mempunyai pembekal yang boleh bekalkan barang mentah pada harga lebih murah. Jadi tak adil jika saya jual pada harga yang mahal,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!