Harga kekal jika tiada peningkatan kos bahan mentah

Nazirul melayan pelanggan yang berkunjung di kedainya di Kuantan pada Ahad.
Nazirul melayan pelanggan yang berkunjung di kedainya di Kuantan pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Peniaga di daerah ini tidak akan menaikkan harga makanan walaupun selepas kerajaan mengumumkan kenaikan gaji yang melibatkan kira-kira 1.6 juta penjawat awam pada Jumaat lalu.

Rata-rata peniaga yang ditemui menjelaskan bahawa mereka akan mengekalkan harga makanan seperti biasa sekiranya tiada sebarang peningkatan kos bahan mentah yang ketara.

Seorang peniaga, Nazirul Zuber, 46, berkata, walaupun pelanggan menerima tambahan pendapatan, namun enggan mengambil kesempatan terhadap mereka.

“Kami akan kekalkan harga seperti biasa kerana sudah ada kenaikan awal tahun lalu. Jika terlalu kerap menaikkan harga tanpa sebab munasabah, pelanggan akan lari.

“Buat masa sekarang ini, kami berada dalam fasa untuk bertahan, bukan cari untung dan kemewahan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.

Nazirul menambah, ini adalah sebahagian dari usaha mereka untuk menjaga kestabilan ekonomi tempatan dan meringankan beban pengguna, terutama dalam suasana ekonomi yang mencabar.

Jelasnya lagi, pertambahan pendapatan pelanggan sebenarnya meningkatkan kuasa beli mereka, sekali gus memberikan sedikit keuntungan kepada peniaga.

“Dengan kenaikan gaji ini, pelanggan boleh memilih untuk makan nasi, mengambil kuih, roti, dan lain-lain. Ini membolehkan mereka berbelanja lebih banyak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kamaruddin sedang membuat persiapan untuk jualan makanan di kedai makan miliknya di Kuantan pada Ahad.
Kamaruddin sedang membuat persiapan untuk jualan makanan di kedai makan miliknya di Kuantan pada Ahad.

Sementara itu, Kamaruddin Abdullah, 65, menyatakan bahawa tidak ada keperluan baginya untuk menaikkan harga makanan disebabkan oleh kenaikan gaji penjawat awam.

Beliau menjelaskan harga makanan dijual di kedainya tetap sama supaya semua golongan masyarakat mampu untuk membelinya.

“Harga kami tetap kekal supaya semua orang boleh membeli,” katanya ringkas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!