Turkiye dilanda kebakaran besar-besaran

Anggota bomba menjelaskan bentuk muka bumi berbukit menyukarkan memadamkan kebakaran sepenuhnya di wilayah Izmir. Foto AFP
Anggota bomba menjelaskan bentuk muka bumi berbukit menyukarkan memadamkan kebakaran sepenuhnya di wilayah Izmir. Foto AFP
A
A
A

IZMIR - Anggota bomba Turkiye sedang bergelut bagi memadamkan beberapa kebakaran hutan yang memasuki hari ketiga dengan angin kencang menyukarkan usaha mereka untuk mengawal kebakaran besar di pinggir bandar Izmir.

Jurucakap anggota bomba berkata, mereka hanya berjaya memadamkan sebahagian kebakaran yang dikhuatiri mengancam bandar pelabuhan sejak tiga hari lalu walaupun api didapati masih marak di hutan berhampiran.

"Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Tempat kerja kami terletak di tengah-tengah kebakaran. Kami kehilangan mata pencarian," kata Hanife Erbil, 48, yang menyara hidup mengumpul sisa kertas dan plastik.

Pokok pain yang pernah tumbuh banyak di kawasan hutan berhampiran dan pernah memukau pelancong dengan panorama hijau turut dijilat api.

"Ia adalah laluan sangat indah dengan bau-bau pokok pine. Ia membuatkan saya mahu menangis," kata seorang pemandu teksi.

Seorang penduduk melihat kandang haiwan ternakan yang hangus terbakar akibat kebakaran hutan di kampung Sancakli. Foto AFP
Seorang penduduk melihat kandang haiwan ternakan yang hangus terbakar akibat kebakaran hutan di kampung Sancakli. Foto AFP

Bau asap boleh dirasai di seluruh Izmir, bandar ketiga paling ramai penduduk di Turkiye.

Bagi mengekang kebakaran merebak lebih cepat, anggota bomba dari bandar-bandar Tukiye lain turut dihantar selain tentera untuk mengawal keadaan.

Artikel Berkaitan:

"Semua orang bekerja keras. Saya bertugas hampir 36 jam. Kami boleh katakan kebakaran sebahagian daripada hutan ini masih terkawal," kata anggota bomba Izmir, Arjin Erol.

Pemindahan

Kebakaran bermula pada Khamis lalu dan merebak pantas ke kawasan perumahan akibat angin bertiup kencang pada kelajuan 50 kilometer sejam.

Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya berkata, kira-kira 900 penduduk di lima daerah terjejas telah dipindahkan pada malam Jumaat di Izmir.

Pada hari Sabtu, kampung berdekatan kawasan kebakaran diarahkan kosong atas sebab keselamatan, kecuali segelintir sukarelawan yang meninggalkan makanan dan air untuk haiwan yang tinggal di hutan.

Setakat ini tiada laporan kemalangan jiwa, namun haiwan liar, kucing dan anjing dilaporkan mati dalam kebakaran itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Turkiye, kebakaran besar-besaran itu telah merosakkan 16 bangunan dan menjejaskan 78 orang dengan 29 daripadanya dimasukkan ke hospital.

Helikopter membawa air bagi memadamkan kebakaran hutan di wilayah Izmir. Foto AFP
Helikopter membawa air bagi memadamkan kebakaran hutan di wilayah Izmir. Foto AFP

Ali berkata, setakat ini, kira-kira 1,600 hektar hutan telah terjejas dan bentuk muka bumi yang mencabar menyukarkan untuk memadamkan api.

Tambahnya, seramai tujuh orang telah ditahan dan dua lagi diberkas kerana disyaki terlibat dalam beberapa insiden kebakaran tersebut.

Izmir dan kawasan peranginan tepi laut berhampirannya adalah destinasi percutian popular.

Turkiye berdepan gelombang haba dan kemarau teruk sejak awal musim panas, mempercepatkan penyebaran kebakaran hutan. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!