Peniaga kekal harga makanan, enggan beban pelanggan
JOHOR BAHRU - Golongan peniaga tidak berhasrat menaikkan harga makanan di premis masing-masing susulan kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
Tinjauan Sinar Harian di pasar awam Larkin Johor Bahru mendapati golongan peniaga rata-rata mengekalkan harga makanan di premis masing-masing demi kepentingan orang ramai.
Pengusaha restoran, Habib Rahman, 65, berkata, harga makanan di restorannya kekal pada harga biasa kerana dia tidak mahu membebankan pelanggan.
Menurutnya, harga makanan di restorannya itu juga sudah lama tidak dinaikkan bagi menjamin kepuasan pelanggan.
“Kami sudah lama berniaga dan setakat ini tidak ada apa-apa kenaikan harga makanan di sini.
“Semua harga makanan di sini masih sama dan kami sebagai peniaga saya pun tidak merancang untuk menaikkan harga makanan,” katanya.
Peniaga makanan kering, Noorhayati Mohd Anim, 58, pula berkata, setakat ini tidak ada sebarang kenaikan pada barang jualannya.
Malah katanya, sewa tapak niaga juga masih sama dan perkara itu membuatkannya bertambah yakin bahawa tidak akan berlaku kenaikan bagi harga makanan di gerainya.
“Semalam kerajaan dah umum kenaikan gaji penjawat awam seluruh negara tetapi harga makanan di sini masih sama dan tak ada kenaikan.
“Akan datang masih belum tahu lagi tapi sekarang harga masih tetap macam biasa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!