Curang itu pilihan, bukan satu kesilapan

Curang itu bukanlah takdir, namun pilihan untuk seseorang itu beralih arah perasaannya pada individu lain berbanding pasangannya. Gambar hiasan
Curang itu bukanlah takdir, namun pilihan untuk seseorang itu beralih arah perasaannya pada individu lain berbanding pasangannya. Gambar hiasan
A
A
A

KITA sering kali dibentangkan dan dipaparkan kes-kes membabitkan pasangan curang sama ada dalam mahupun luar negara hingga sampai ke tahap membunuh.

Umum sedia maklum curang itu bukanlah takdir, namun pilihan untuk seseorang itu beralih arah perasaannya pada individu lain berbanding pasangannya.

Tahun ini juga media sosial gempar dengan seorang anggota tentera di negeri ini didakwa memukul isterinya kerana terbongkar menjalinkan hubungan sulit dengan wanita lain.

Ramai yang mengaitkan curang ini dengan pakaian seragam seseorang sama ada tentera ataupun polis seperti kes-kes yang pernah berlaku sebelum ini, namun masyarakat tidak boleh pukul sama rata dalam hal ini.

Lebih menyedihkan sekiranya curang itu berlaku dalam institusi keluarga yang boleh membuatkan rumah tangga dibina bertahun musnah sekelip mata.

Tidak kisah lelaki atau wanita, namun jika daripada awal bersedia untuk setia maka jarak jauh juga bukanlah alasan untuk bertindak melukakan hati pasangan dengan kecurangan.

Banyak kesan negatif yang timbul sekiranya kecurangan berlaku dari rumah yang nyaman bertukar menjadi mimpi ngeri hinggakan anak-anak mendapat tempias terutama anak-anak yang masih kecil dan memerlukan kasih sayang ibu bapa.

Maka dari rumah yang bertukar ‘bergolak’ ini juga membuka ruang untuk anak-anak terlibat dalam masalah sosial sehingga merosakkan masa depan mereka.

Artikel Berkaitan:

Itu belum lagi kesakitan yang perlu ditanggung oleh pasangan yang dicurangi sehingga boleh menyebabkan masalah kesihatan termasuk penyakit mental seperti anxiety disorder, depression dan schizophrenia.

Semua itu tidak mustahil akan dihadapi oleh seseorang yang dihancurkan secara mental oleh pasangannya hingga ke tidak berkemampuan dirinya untuk mengawal emosi disebabkan trauma.

Hakikatnya kecurangan itu bukanlah diukur dengan baju seseorang itu pakai sama ada beruniform atau pun tidak namun ia terletak pada diri sendiri untuk membuat pilihan setia atau sebaliknya.

Maka jangan dipersalahkan pakaian seragam yang dipakai kerana masih ada lagi mereka dalam kalangan beruniform ini mempunyai kesetiaan yang tinggi terhadap pasangan.

Meskipun di media sosial sering kali dipaparkan mengenai gambar-gambar dan cerita tentang kecurangan dalam kalangan mereka beruniform, namun bukanlah kita untuk terus menghina mereka yang berkorban untuk negara seperti polis dan tentera.

Realitinya tidak semua bersikap sedemikian, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Kerana satu kesalahan kita lupa kebaikan yang mereka taburkan untuk menjaga keamanan negara.

Untuk pasangan bercinta maka setialah dengan yang ada kerana curang itu pilihan dan bukan kesilapan. Jadikan segala kisah duka yang dilalui insan lain sebagai pengajaran.

Biarpun berlaku tutuplah aib pasangan masing-masing dan janganlah ditayangkan di media sosial hingga menjadi ruang kecaman netizen.

Belajar untuk menghargai pasangan kerana tiada makhluk yang sempurna selain DIA yang tidak pernah tidur.

Bagaimanapun pilihan adalah di tangan masing-masing sama ada anda abang loreng ataupun sang saka biru sekali pun.

Tidak perlu menuding jari kepada mana-mana pihak atau saling menyalahkan kerana ia sudah pun berlaku.

Baiki diri dan orang kata berdamailah dengan keadaan kerana setiap ujian pasti ada hikmahnya walaupun perit untuk ditelan sekali pun ia berbekas sampai akhir hayat.

Susulan beberapa kisah, jadikan pengajaran jika terjebak dengan hubungan seperti ini lebih baik segera ‘tekan brek’ tidak kiralah siapa pun diri anda kerana ujian ALLAH itu tidak kira jawatan ataupun pangkat waima sudah usia warga emas kadang boleh curang!

* Nor Farhana Yaacob ialah wartawan Sinar Harian Melaka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!