Zain Saidin masih 'diekori' Henry Middleton

Zain mengakui sedia untuk kembali aktif sekiranya diberi kesempatan.
Zain mengakui sedia untuk kembali aktif sekiranya diberi kesempatan.
A
A
A

PELAKON dan usahawan, Zain Saidin mendedahkan menjadi 'veteran muda' dalam industri seni selepas namanya sering kali ditolak oleh stesen televisyen.

Tidak pasti asbab utama, tetapi selebriti berusia 40 tahun itu berkata, kejayaan karakter Henry Middleton dalam siri Oh My English! (OME) meninggalkan impak yang besar dalam kerjaya seninya.

"Ramai yang beritahu masih dapat melihat watak Henry Middleton dan diingati sehingga kini kerana watak itu.

"Cuma kekurangannya, saya tidak banyak tawaran berlakon selepas itu dan nama saya selalu ditolak oleh stesen televisyen.

"Boleh dikatakan saya sudah jadi pelakon veteran termuda sejak enam tahun kerana ketiadaan tawaran berlakon," katanya ketika ditemui di Damansara Height baru-baru ini.

Ditanya kemungkinan gen 'Mat Saleh' yang terlalu kuat dan menyebabkan tidak ada watak sesuai buatnya, Zain tidak melihat ia sebagai satu masalah.

Zain menafikan Che Ta menjadi punca dia tidak berlakon kini.
Zain menafikan Che Ta menjadi punca dia tidak berlakon kini.

"Tidak semestinya perlu tampilkan saya sebagai satu keluarga yang ada ibu ayah. Saya teringin juga cuba watak berbeza seperti antagonis.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini kalau ada tawaran pun, hanya peranan kecil atau sebagai pelakon undangan sahaja. Kalau ikutkan saya tidak ada masalah untuk menerima apa sahaja tawaran kerana memang saya tidak ada tawaran berlakon langsung.

"Cuma bila saya cadangkan produksi tanya kepada stesen TV sama ada nama saya diluluskan atau tidak, selepas itu mereka hanya senyap sahaja, jadi saya fikir kemungkinan besar nama saya tidak lepas," jelasnya.

Zain juga menepis dakwaan liar yang menuduh isterinya, Rozita Che Wan atau Che Ta sebagai penyebab dia tidak lagi aktif dalam dunia seni.

Jelasnya, sebagai ketua keluarga, tidak ada sebab untuk menolak rezeki kerana pada akhirnya duit tersebut akan diberikan kepada Che Ta.

"Ada juga spekulasi timbul anggap Che Ta halang saya daripada berlakon, sedangkan keadaan adalah sebaliknya.

"Sebagai ketua keluarga, kalau saya bekerja dapat gaji, duit itu ke mana? Kepada Che Ta juga,” katanya.

Menurut Zain, sekiranya nasibnya masih tidak berubah sebagai pelakon dia bercadang untuk mewujudkan saluran YouTube bersama anaknya, Aaisyah Dhia Rana.

"Saya ada muncul dengan beberapa video memasak bersama Aaisyah dan ia mendapat sambutan.

“Mungkin kami akan hasilkan program memasak misalnya tetapi kami sama-sama tidak pandai memasak. Jadi ia akan jadi kelainan,” akhirinya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!