[VIDEO] 'Kami hidup aman, kes bunuh Nuraina Humaira tak boleh diterima' - Tok Batin

A
A
A

SUNGAI SIPUT - Kes pembunuhan kanak-kanak perempuan, Nuraina Humaira Rosli, 10, yang ditemui mati di kawasan berpaya, Sabtu lalu adalah yang pertama berlaku di Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di sini.

Tok Batin, Hadu Long berkata, sepanjang 19 tahun menjaga kebajikan dan keselamatan kampung tersebut, belum pernah lagi berlaku kes-kes jenayah berat apatah lagi melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa.

"Saya jadi tok batin dari tahun 2005 hingga sekarang. Tak pernah lagi berlaku kes melibatkan rogol dan bunuh.

"Selama ini kami hidup dalam keadaan aman, jadi bila berlaku kes seperti ini, ia sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Sebagai ketua yang bertanggungjawab menjaga kampung ini, saya berasa terkilan dan sedih," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Zulkefli menunjukkan gambar kenangan Nuraina Humaira.
Zulkefli menunjukkan gambar kenangan Nuraina Humaira.

Beliau akui, kejadian itu membuatkan hampir 200 penduduk yang mendiami kampung berkenaan sedikit gempar dan hidup dalam ketakutan.

"Bukan senang nak terima kerana kes ini melibatkan kematian yang mengejutkan, jadi semua orang pun takut.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin esok atau lusa, saya akan panggil semua penduduk untuk diberikan taklimat, supaya tidak berlaku lagi pada kes pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Zulkefli Angah, 21, berkata, peringkat awal kehilangan, mereka menyangkakan mangsa yang mempunyai masalah pendengaran dan lembam itu mandi di sungai dan bermain di rumah kawan.

Zulkefli bersama Hadu menziarahi pusara Nuraina Humaira yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Bersah pada Isnin.
Zulkefli bersama Hadu menziarahi pusara Nuraina Humaira yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Bersah pada Isnin.

Bagaimanapun selepas pencarian dilakukan tidak menemui mangsa, mereka segera laporkan kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

"Tak terlintas langsung dalam fikiran akan melibatkan kematian.

"Sewaktu jasad Humaira dijumpai, saya tak kuat nak lihat, saya lari dan tak sanggup nak tengok dia dalam keadaan begitu," katanya.

Tinjauan dilakukan mendapati, laluan ke lokasi penemuan jasad Nuraina Humaira hanya kurang satu minit dari kediaman terakhir penduduk kampung terbabit.

Paras air di kawasan berpaya yang dimaksudkan juga tidak tinggi hingga mampu menyebabkan mangsa lemas.

Laluan ke lokasi penemuan jasad Nuraina Humaira hanya kurang satu minit dari kediaman terakhir penduduk Kampung Bersah.
Laluan ke lokasi penemuan jasad Nuraina Humaira hanya kurang satu minit dari kediaman terakhir penduduk Kampung Bersah.

Mayat murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu ditemukan dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya di kampung berkenaan sekitar jam 4.20 petang hasil operasi mencari yang digerakkan selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat.

Siasatan polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak berkenaan dirogol dan dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di kawasan mangsa ditemui.

Perkara itu hasil laporan bedah siasat yang menemui kesan koyakan pada kemaluan dan kecederaan akibat tekanan pada bahagian leher mangsa.

Zulkefli menunjukkan lokasi penemuan mayat Nuraina Humaira.
Zulkefli menunjukkan lokasi penemuan mayat Nuraina Humaira.

Susulan kes itu, polis menahan reman seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga saudara terdekat mangsa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!