Tindakan Muhyiddin biadab, UMNO Pahang sokong titah Tengku Hassanal
KUANTAN - UMNO Pahang menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang mahu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ia susulan tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang telah memperlekeh dan mempertikai tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, UMNO Pahang berpandangan tindakan Muhyiddin sangat biadab dan menghina institusi diraja.
Menurutnya, ia juga mempertikaikan kewibawaan baginda dalam menyelesaikan kemelut politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terutamanya dalam isu pelantikan Perdana Menteri pada ketika itu.
"Seperti mana kemurkaan Tengku Mahkota Pahang, kami juga turut merasa marah dan tersinggung dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin yang boleh disifatkan sebagai berniat jahat dan cuba menghasut rakyat untuk hilang kepercayaan terhadap institusi raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat.
"Selain itu, kenyataan Tan Sri Muhyiddin juga telah menimbulkan suasana yang tidak harmoni serta menggores perasaan kami yang sentiasa menjunjung tinggi kedaulatan Sultan Pahang serta institusi diraja Pahang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ujar beliau, UMNO Pahang menyeru agar seluruh rakyat di negara ini terutamanya rakyat di Pahang agar terus menzahirkan taat setia dan mempertahankan institusi raja-raja Melayu serta berpegang teguh prinsip Rukun Negara.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Tengku Hassanal menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Tengku Hasanal bertitah, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu telah memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Kenyataan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” titah Tengku Hassanal dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Abdulaziz Kuantan, Pahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!