Penuntut Polisas maut rempuh lori kontraktor siram pokok

Keadaan di lokasi nahas melibatkan motosikal dan lori kontraktor menyiram pokok di Jalan Pintasan Kuantan di sini pada Isnin. Foto Facebook Polis Trafik Kuantan
Keadaan di lokasi nahas melibatkan motosikal dan lori kontraktor menyiram pokok di Jalan Pintasan Kuantan di sini pada Isnin. Foto Facebook Polis Trafik Kuantan
A
A
A

KUANTAN - Seorang penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) maut, manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggang mereka merempuh belakang sebuah lori kontraktor kerja-kerja menyiram pokok di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran jejambat Bunga Cengkih di sini pada Isnin.

Dalam nahas kira-kira jam 3.20 petang itu, penunggang dan pembonceng yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, bagaimanapun penunggang motosikal, Muhammad Nafis Ifwat Sasuhilmy, 19, dari Sungai Isap Damai Fasa 3 di sini, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.10 malam ketika menerima rawatan.

Menurutnya, pembonceng berusia 19 tahun juga penuntut Polisas dirawat di hospital sama.

"Pemandu lori dan pekerja menyiram pokok warga tempatan berusia 39 dan 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori jenis Isuzu itu dari arah Terminal Sentral Kuantan (TSK) menghala ke arah Semambu.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, lori milik kontraktor Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sedang bergerak di lorong kanan membawa muatan air untuk kerja-kerja penyiraman pokok bunga dipercayai dirempuh motosikal jenis Yamaha YZF-R15 dinaiki dua penuntut tersebut yang datang dari arah belakang.

"Akibat kemalangan tersebut, penunggang dan pembonceng dilaporkan cedera dan dihantar ke Pusat Perubatan UIAM bagaimanapun salah seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada 7 Ogos lalu, seorang pekebun maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandu merempuh belakang lori kontraktor yang menjalankan kerja menyiram pokok bunga di laluan itu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Gee Len Fatt, 63 beralamat dari Jalan Haji Ahmad di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!