‘Saya cabar Muhyiddin dedah nama 115 ahli Parlimen’ - Puad Zarkashi

Puad Zarkashi
Puad Zarkashi
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] UMNO mencabar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mendedahkan nama 115 ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau sewaktu menjadi ketua kerajaan ketika itu.

Ahli Majlis Kerja Tertingginya, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kenyataan yang dibuat itu perlu berlandaskan fakta dan tidak hanya membuat tuduhan kosong tanpa mengemukakan bukti.

Menurutnya, Ahli Parlimen Pagoh itu juga telah menghina institusi raja Melayu berhubung kenyataan yang dibuat sewaktu berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

“Muhyiddin menegaskan kenyataan yang dibuatnya di Nenggiri bukan menghina Institusi Raja Melayu. Beliau hanya menyatakan sesuatu yang bersifat fakta.

“Kalau fakta, saya cabar Muhyiddin dedahkan nama 115 ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau sebagai Perdana Menteri. Jangan syok sendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam hantaran di laman Facebook pula menzahirkan rasa kecewa serta terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis akan merakam keterangan berhubung ucapan Muhyiddin yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bekas Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dalam satu kenyataan di Facebook berkata, Muhyiddin tidak akan mendedahkan nama 115 ahli Parlimen seperti yang dicabar oleh Mohd Puad kerana beliau takut akan kehilangan jawatan dalam parti.

Tambah beliau, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tersebut tidak mempunyai sokongan seramai itu dan hanya membuat andaian sendiri.

“Jika Muhyiddin cuba dedahkan nama 115 ahli Parlimen tersebut, beliau akan hilang kredibiliti sebagai seorang pemimpin apabila sebilangan ahli-ahli Parlimen tidak mahu mengesahkannya.

“Perkara ini akan menyebabkan PN menolak beliau daripada jawatan Pengerusi untuk diganti dengan seorang pemimpin yang mempunyai kredibiliti dan bijak,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!