Malaysia, Iran dan Hamas setuju negara bukan Islam sertai sidang tergempar OIC
SHAH ALAM - Malaysia, Iran dan Hamas bersetuju negara bukan Islam seperti Afrika Selatan, Brazil, Sepanyol, Ireland dan Portugal untuk turut serta dalam sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sidang itu bagi menyelaras gerakan dan memberi tekanan lebih hebat terhadap Amerika Syarikat serta sekutunya untuk mendesak rejim Zionis segera menghentikan serangan dan pengeboman di Gaza.
"Sebelum berlepas ke India, saya sempat menghubungi Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian dan Ahli Biro Politik Hamas, Dr Basem Naim, lewat petang semalam. Bicara kami menyentuh beberapa usaha penting terkait usaha untuk merealisasikan gencatan senjata serta perdamaian berpanjangan di Gaza.
"Saya juga menyatakan sokongan penuh kerajaan Malaysia terhadap usaha tersebut yang sewajarnya dipelopori negara penting termasuk Turkiye, Qatar dan Iran. Ini termasuk cadangan Turkiye untuk menghimpunkan pimpinan dunia Islam menerusi sidang tergempar OIC bagi menyelaras gerakan dan mengenakan tekanan lebih hebat terhadap Amerika Syarikat.
"Alhamdulillah, kerajaan Iran dan Hamas senada serta menyokong inisiatif berkenaan, termasuk cadangan menjemput negara bukan Islam yang turut mendukung keadilan dan memperjuangkan hak kemanusiaan buat rakyat Palestin seperti Afrika Selatan, Brazil, Sepanyol, Ireland serta Portugal," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan, beliau bersama Masaoud dan Basem berkongsi pendirian sama, di mana usaha mewujudkan perdamaian itu perlu bermula dengan rejim Israel menghentikan sepenuhnya serangan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Sebelum ini media melaporkan, kumpulan penentang Palestin iaitu Hamas menggesa Liga Arab dan OIC untuk mengadakan mesyuarat tergempar mengenai genosid yang berlanjutan di Semenanjung Gaza.
Menurut Agensi Anadolu, Hamas menekankan keperluan untuk membuat keputusan yang berkesan bagi menghentikan serangan dan genosid terhadap rakyat di Semenanjung Gaza serta memutuskan sebarang hubungan politik, perdagangan atau menormalisasikan hubungan dengan Zionis.
Kumpulan itu turut menggesa pelaksanaan keputusan yang dibuat pada sidang kemuncak bersama Arab dan Islam yang berlangsung di Riyadh pada 11 November tahun lalu bagi menghapuskan sekatan dan menghantar pelbagai barangan termasuk bantuan kemanusiaan kepada rakyat di Semenanjung Gaza.
Pada masa sama, Hamas menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengadakan sesi tergempar dan membuat keputusan yang mewajibkan penjajah (Israel) menghentikan pencerobohan dan genosid serta menghentikan pelanggaran undang-undang dan perjanjian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!