Isu 3R: Proses rakam keterangan Muhyiddin ditangguh esok
KUALA LUMPUR - Proses merekod keterangan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkait isu 3R (kaum, agama, raja) ditangguhkan pada Rabu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keterangan itu akan dirakam di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kuala Lumpur pada jam 11 pagi.
“Peguam kepada beliau (Muhyiddin) maklum untuk ditangguhkan esok kerana dia masih berada di Thailand,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan keterangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu akan dibuat oleh pada Selasa.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Sebanyak 30 laporan polis diterima berhubung ucapan yang didakwa menyentuh isu 3R ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan.
Sebelum ini, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang dilihat secara sengaja dan sinis mempertikaikan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!