Raja Iskandar dilantik semula sebagai Presiden Majlis AIDS Malaysia

Duduk dari kiri, Dr Yatella, Dr Zaiton, DR Raja Iskandar, Dr Nur Afiqah da Dr Yuwana. Berdiri dari kiri, Dr Theyveeka, Louis Ting, Azizi, Ken Wii Kin Fai, Datuk Yasmeen.
Duduk dari kiri, Dr Yatella, Dr Zaiton, DR Raja Iskandar, Dr Nur Afiqah da Dr Yuwana. Berdiri dari kiri, Dr Theyveeka, Louis Ting, Azizi, Ken Wii Kin Fai, Datuk Yasmeen.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar Penyakit Berjangkit dari Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Raja Iskandar Shah Raja Azwa,dilantik semula sebagai Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAC) bagi tempoh 2024 hingga 2027.

Pemilihan tersebut mencerminkan sokongan padu Ahli-Ahli Gabungan MAC terhadap kepimpinan beliau dalam mengemudi cabaran penularan HIV dan AIDS di negara ini.

Raja Iskandar berkata, MAC akan terus melindungi kepentingan orang yang hidup dengan HIV di Malaysia dan melipatgandakan usaha untuk menghapuskan segala halangan yang menjejaskan akses kepada rawatan, saringan, jagaan dan sokongan untuk anggota komuniti yang terjejas dengan HIV dan AIDS.

Justeru menurutnya, penting untuk mengambil iktibar daripada pengalaman lampau dan pihaknya bersedia untuk berdepan dengan cabaran baharu seperti peningkatan kadar penularan seksual HIV.

"Saya amat berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan oleh Ahli-Ahli Gabungan MAC kepada saya.

"Saya dan rakan-rakan EXCO komited untuk mengekalkan pendekatan berlandaskan sains dan pengekalan hak yang telah sekian lama membimbing respons kami terhadap epidemik HIV.

"Fokus kami kekal untuk membasmi penularan HIV dan memastikan mereka yang hidup dengan virus ini menerima jagaan dan sokongan yang mereka perlukan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, MAC turut mengumumkan Ahli Exco bebas yang dikhususkan untuk pemimpin sektor korporat atau badan-badan profesional bukan dari kalangan Ahli Majlis.

Artikel Berkaitan:

Pelantikan tersebut dibuat hasil semakan semula Perlembagaan MAC dalam usaha meningkatkan kualiti tadbir urusan dan memperkukuhkan kelestarian jangka panjang pertubuhan tersebut.

Di antara ahli baru yang dilantik ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby (YSD), Dr Yatela Zainal Abidin, mempunyai pengalaman meluas dalam menerajui lima mercu utama fokus YSD iaitu Pendidikan, Komuniti & Kesihatan, Alam Sekitar, Sukan dan Seni Budaya.

Perlaksanaan program- program YSD juga adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menangani isu-isu kritikal sejagat seperti kemiskinan, AIDS, ketidaksamaan gender dan lain-lain.

Barisan Exco berkenaan turut dianggotai Veteran korporat, Azizi Meor Ngah, yang mempunyai pengalaman lebih lima dekad dalam operasi perniagaan strategik, pertanian, media, industri halal, dan tenaga boleh diperbaharui.

Azizi telah memegang jawatan penting seperti Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu Berhad dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia.

Isu HIV/AIDS juga tidak asing kepada beliau, hasil daripada pengalaman berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan AIDS Malaysia.

Selain itu, turut dilantik ialah Louis Ting dari firma guaman Louis Tai & Partners, sebuah firma guaman dengan kepakaran dalam bidang penjagaan kesihatan dan sains hayat.

Berikut senarai penuh Jawatankuasa Eksekutif MAC (2024-2027):

Presiden: Prof Madya Dr Raja Iskandar Shah Raja Azwa (PT Foundation)

Naib Presiden: Dr Nur Afiqah Mohd Salleh (Persatuan Insaf Murni)

Setiausaha Kehormat: Dr Zaiton binti Yahaya (Sabah AIDS Awareness Group Association)

Penolong Setiausaha Kehormat: Dr Yuwana Podin (Sarawak AIDS Concern Society)

Bendahari Kehormat: Ken Woo Kin Fai (Kuala Lumpur AIDS Support Services Society)

Ahli Exco:

Dr Theyveeka Selvy Rajoo (St Johns Ambulance Malaysia)

Datuk Yasmeen Shariff (Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia)

Dr Hajjah Yatela Zainal Abidin (CEO, Yayasan Sime Darby)

Azizi Meor Ngah (CEO, Invest Energy Group)

Louis Ting (Managing Partner, Louis Tai & Partners)

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!