Suspek tikam ibu saudara masih di ICU, belum stabil - Polis

Suspek dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang setelah mengadu pening kepala sebaik tangkapan dijalankan. Foto PDRM
Suspek dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang setelah mengadu pening kepala sebaik tangkapan dijalankan. Foto PDRM
A
A
A

BUTTERWORTH - Suspek yang menikam ibu saudaranya dengan gunting sehingga mangsa maut dalam kejadian di Pekan Darat, Kepala Batas Selasa lalu masih tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP).

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Utara, Superintenden C. Tharmalingam berkata, suspek berusia 43 tahun itu telah diberi jaminan polis petang Isnin ekoran keadaannya yang belum stabil selepas menjalani pembedahan pada kepala.

Katanya, suspek yang juga penganggur terpaksa dikejarkan ke HPP setelah mengadu pening kepala sebaik tangkapan dijalankan.

Menurut Tharmalingam, polis telah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Pendakwa Raya (PPN) untuk tindakan selanjutnya.

“PPN mengarahkan pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan namun memandangkan keadaan suspek masih di ICU dan belum sedarkan diri, arahan jaminan polis diberikan kepada suspek.

“Pertuduhan ke atas suspek mungkin dijalankan sebaik keadaannya stabil nanti,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Tharmalingam berkata, setakat ini, polis telah merekodkan sebanyak sembilan keterangan daripada ahli keluarga dan jiran mangsa.

Terdahulu, suspek berusia 43 tahun ditahan reman selama tujuh hari sehingga 21 Ogos ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Artikel Berkaitan:

Suspek tidak mempunyai masalah mental dan ujian air kencingnya juga negatif dadah.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas maut ditikam dengan gunting di kepala oleh anak saudara lelakinya ketika dia cuba meleraikan pertengkaran antara dua beranak di sebuah rumah di Pekan Darat, Kepala Batas.

Mangsa berusia 80 tahun itu meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya, manakala ibu suspek turut tercedera.

Suspek yang mengamuk dan memecahkan cermin tingkap rumah jiran sebelum melarikan diri kemudian berjaya ditahan polis tidak jauh dari lokasi kejadian pada hari sama. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!