Puspakom tutup cawangan Petaling Jaya bermula 31 Ogos ini
SHAH ALAM - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mengumumkan penutupan operasi bagi cawangan Petaling Jaya bermula 31 Ogos 2024.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, ia sebahagian daripada strategi syarikat untuk mengoptimumkan operasi dan memberi tumpuan kepada liberalisasi pasaran dalam industri pemeriksaan kenderaan di Malaysia.
"Penutupan ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kecekapan operasi dan memastikan pelanggan sentiasa mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada Puspakom.
"Pelanggan yang lazimnya hadir ke Puspakom Petaling Jaya untuk menjalani pemeriksaan kenderaan boleh mengunjungi ke cawangan alternatif sekitar Lembah Klang iaitu di Padang Jawa, Cheras dan Glenmarie," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mahmood Razak memaklumkan, penutupan cawangan Petaling Jaya merupakan langkah strategik syarikat dan tidak akan menjejaskan mutu perkhidmatan syarikat.
Malah katanya, Puspakom mengambil inisiatif lebih baik dengan melanjutkan waktu operasi di cawangan Glenmarie bermula 2 September ini daripada jam 7 pagi sehingga 11 malam untuk memberi perkhidmatan lebih fleksibel kepada pelanggan.
Tambah beliau, untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 03-51017000 atau layari laman web rasmi www.puspakom.com.my dan mendapatkan info terkini di Facebook rasmi, Puspakom Sdn Bhd.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!