Najib tarik balik rayuan gugur hakim Sequerah kes 1MDB

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak menarik balik rayuan permohonannya di Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa, untuk menyingkirkan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah daripada mendengar kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri berkata, beliau telah mendapat arahan daripada anak guamnya untuk menarik balik rayuan berkenaan.

Menurutnya, ini disebabkan perbicaraan kes itu telah diteruskan dengan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan selesai memberi keterangan selama 10 hari.

“Oleh itu, kami menarik rayuan tanpa prejudis atau menjejaskan hak kami untuk membangkitkan isu berkenaan (untuk menggugurkan Sequerah) dalam rayuan utama sekiranya ada,” katanya.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kamal Bahrin Omar berkata, pihaknya tidak mencabar perkara yang dimaklumkan pihak pembelaan.

“Kami tidak membantah dan bersetuju dengan syarat-syarat yang dinyatakan itu,” katanya.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali kemudiannnya berkata, mahkamah membatalkan rayuan terbabit setelah mendengar hujahan daripada pihak pembelaan, disamping tiada bantahan daripada pihak pendakwaan.

“Susulan itu, rayuan ini dibatalkan namun isu mengenai penyingkiran hakim, masih boleh dibangkitkan dalam rayuan utama, sekiranya perlu,” katanya yang bersidang bersama Hakim-hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azman Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Pada 14 Ogos 2023, Najib memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya Sequerah menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes 1MDB.

Ia susulan pendedahan Sequerah pada 26 Julai tahun sama, bahawa hakim dan Jasmine pernah menjadi rakan kongsi (firma sama di Zain & Co).

Empat hari kemudian, iaitu pada 18 Ogos, Sequerah menolak permohonan berkenaan.

Jasmine telah memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu, sebagai saksi terakhir, yang ke-50 dan kini berada diperingkat hujahan selepas kesemua saksi pendakwaan selesai memberi keterangan.

Najib, 71, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Ringkasan berita:

  • Tarik Balik Rayuan: Najib tarik balik permohonan gugurkan Hakim Sequerah dari kes 1MDB.
  • Arahan Najib: Najib arah peguamnya untuk tarik balik rayuan.
  • Alasan: Perbicaraan sudah diteruskan dengan keterangan Jasmine Loo.
  • Tanpa Prejudis: Isu penyingkiran hakim boleh dibangkitkan semula dalam rayuan utama.
  • Setuju: Pendakwaan tidak bantah penarikan rayuan.
  • Mahkamah: Rayuan dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan.
  • Latar Belakang: Najib failkan permohonan selepas pendedahan hubungan hakim dengan saksi.
  • Pertuduhan: Najib hadapi tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram RM2.3 bilion.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!