Paras air Sungai Muda 'sihat', tiada gangguan bekalan - PBAPP

Empangan Air Itam berkapasiti 2,159 juta liter (JL) memberi perkhidmatan kepada pangkalan pelanggan kira-kira 28,948 pengguna air di Air Itam, Farlim dan kawasan berhampiran.
Empangan Air Itam berkapasiti 2,159 juta liter (JL) memberi perkhidmatan kepada pangkalan pelanggan kira-kira 28,948 pengguna air di Air Itam, Farlim dan kawasan berhampiran.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kira-kira 66.7 peratus pengguna air di Pulau Pinang tidak akan mengalami gangguan bekalan air serta-merta memandangkan paras air Sungai Muda secara relatifnya diklasifikasikan sebagai sihat pada ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan berkata, pada Isnin paras sungai Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang Pulau Pinang ialah 3.06 meter iaitu lebih 1 meter di atas paras selamat (2m).

Menurutnya, PBAPP mengabstrak air mentah dari sungai itu setiap hari untuk digunakan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai Utara (SPU).

Pathmanathan
Pathmanathan

"LRA Sungai Dua mengeluarkan kira-kira 1,026 juta liter sehari (JLH) air terawat. Kawasan perkhidmatannya merangkumi sebahagian besar kawasan di SPU, Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

"Kawasan perkhidmatan LRA Sungai Dua juga merangkumi kawasan berpenduduk tinggi di Barat Daya (BD) dan beberapa kawasan di Timur Laut (TL) di bahagian pulau termasuk kawasan perindustrian Bayan Lepas," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, kira-kira 465,000 pengguna Pulau Pinang mendapat bekalan dari LRA Sungai Dua atau kira-kira 66.7 peratus daripada pengguna air Pulau Pinang (seperti data PBAPP Jun 2024).

Artikel Berkaitan:

"Ini bermakna, tiada ancaman serta-merta bekalan air untuk kesemua pengguna berkenaan.

"Kawasan yang menjadi perhatian ialah kawasan perkhidmatan bekalan air Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

"Empangan Air Itam berkapasiti 2,159 juta liter (JL) memberi perkhidmatan kepada pangkalan pelanggan kira-kira 28,948 pengguna air di Air Itam, Farlim dan kawasan berhampiran," katanya.

Pathmanathan berkata, Empangan Teluk Bahang berkapasiti 18,240 JL memberi perkhidmatan kepada pangkalan pelanggan kira-kira 45,850 pengguna air di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dan kawasan sekitarnya.

"Kapasiti efektifnya adalah kira-kira 8.45 kali ganda daripada Empangan Air Itam.

"Kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang yang rendah merupakan ancaman kepada perkhidmatan bekalan air untuk sejumlah 74,798 pengguna air di Air Itam, Farlim, Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dan kawasan berhampiran," katanya.

Beliau menambah, paras rendah di dua empangan di Pulau Pinang diakui sebagai isu yang membimbangkan.

Katanya, pengguna juga perlu memainkan peranan yang positif dan membina setiap hari untuk mengelakkan kekurangan air di Pulau Pinang.

"Bagi pihak PBAPP, kami berperanan untuk mempertahankan Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang dengan sebaik mungkin dan selama mungkin.

"Dalam tempoh 1 hingga 19 Ogos, kita merekodkan sedikit hujan di Kawasan Tadahan Air (KTA) Empangan Air Itam iaitu 91 milimeter (mm) dan Empangan Teluk Bahang (164mm).

"Bagaimanapun, kapasiti efektif empangan ini tidak meningkat. Ini kerana PBAPP terpaksa melepaskan lebih banyak air dari empangan ini setiap hari untuk memenuhi permintaan air di Air Itam, Farlim, Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dan kawasan berhampiran," jelasnya lagi.

Menurutnya, ketika ini, pengguna air di kawasan-kawasan berkenaan menggunakan jumlah air yang lebih tinggi daripada jumlah hujan di empangan tersebut.

"Jumlah taburan hujan merupakan faktor penting bagi kecukupan bekalan air di Pulau Pinang.

"Di sisi lain, penggunaan air yang lebih rendah mungkin merupakan faktor yang sama penting, terutamanya apabila rizab empangan semakin berkurangan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!