Muhyiddin perlu salahkan diri sendiri tolak sertai Kerajaan Perpaduan - Raja Bahrin

Raja Bahrin
Raja Bahrin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak harus menyalahkan pihak lain atas kegagalan beliau menjadi Perdana Menteri sebaliknya perlu mengenang kembali tindakan beliau menolak pelawaan membentuk Kerajaan Perpaduan bagi menstabilkan politik dan ekonomi negara.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, cadangan menyertai Kerajaan Perpaduan itu bukan sahaja direstui oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah malah termasuk Majlis Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, kenyataan Muhyiddin menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri sebelum ini yang mempertikaikan keputusan YDPA melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menunjukkan sikap tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.

"Sebagai Presiden Parti Bersatu yang kononnya memperjuangkan hak orang Melayu dan Institusi Raja-Raja Melayu, sikap beliau amat bertentangan dengan nilai kemelayuan dengan terus-menerus mengasak dan mempertikaikan pula keputusan YDPA untuk menyatukan orang Melayu di bawah sebuah gabungan Kerajaan Perpaduan, termasuk parti Bersatu sendiri yang enggan menerima pelawaan tersebut.

"Bukan sahaja beliau menunjukkan sikap tidak menghormati keputusan YDPA tersebut, tetapi juga menunjukkan sikap angkuh dan sombong dengan mengulangi serta bertegas bahawa apa yang beliau ungkapkan tersebut adalah 'fakta'.

"Janganlah berlakon kononnya bercakap tentang fakta semasa mengkritik keputusan Agong, sementara 'fakta-fakta' kerakusan diri melalui Langkah Sheraton, menggantung Parlimen melalui darurat, serta program Jana Wibawa yang menyeleweng pemberian projek disenyapkan," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, katanya, Ahli Parlimen Pagoh itu perlu mengimbau kembali bahawa YDPA dengan penuh kebijaksanaan telah melantik beliau sebagai Perdana Menteri ke-8 Malaysia.

"Fakta kelemahan sendiri yang ketara besar ialah Muhyiddin dijatuhkan sebagai Perdana Menteri oleh rakan sendiri dalam PN, di gantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Artikel Berkaitan:

"Adakah ini hendak dipersalahkan kepada Tuanku Agong juga kalau diri sendiri tidak pandai atau berupaya bertahan berkuasa?

"Jangan salahkan pihak lain atas kelemahan diri sendiri. Muhasabah dan cermin lah diri sebaiknya," ujar beliau.

Sebelum ini, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Tengku Hasanal bertitah, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu telah memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!