Sunat ulang ayat ke-58 surah Yasin untuk tadabbur

SUNAT mengulang-ulang ayat ke-58 surah Yasin untuk tujuan tadabbur.
SUNAT mengulang-ulang ayat ke-58 surah Yasin untuk tujuan tadabbur.
A
A
A

AMALAN membaca surah Yasin begitu masyhur dalam masyarakat di negara kita. Bahkan ada surau atau masjid menjadikan amalan membacanya sebagai rutin pada setiap malam Jumaat.

Selain itu, bacaan surah Yasin juga turut dibacakan buat orang sakit terutamanya ketika sedang nazak.

Bagaimanapun timbul persoalan, apakah boleh seorang imam yang mengetuai bacaan surah Yasin mengulangi ayat ke-58 sebanyak tiga kali atau lebih sebelum meneruskan bacaannya?

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikel Al-Kafi #1998: Bolehkah beramal dengan mengulang ayat 58 surah Yasin sebanyak tiga atau tujuh kali agar diperkenankan segala hajat, ada jawapannya.

Menurutnya, surah Yasin digelar sebagai hati al-Quran dan sesiapa yang membacanya akan diberi ganjaran pahala seperti membaca al-Quran sebanyak sepuluh kali.

Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan Anas RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu mempunyai hati dan hati bagi al-Quran adalah surah Yasin. Sesiapa yang membaca surah Yasin, ALLAH SWT akan menulis pahala baginya seumpama membaca al-Quran sebanyak sepuluh kali.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Jelasnya, ayat ke-58 surah Yasin pula merujuk kepada ayat Salaamun qaulan mirrabbir rahim.

Artikel Berkaitan:

AYAT ke-58 surah Yasin.
AYAT ke-58 surah Yasin.

“Terdapat adat dan amalan masyarakat Melayu di sesetengah tempat yang membacanya sebanyak tiga atau tujuh kali dan berdoa kepada ALLAH SWT.

“Dalam hal ini, Imam An-Nawawi menyatakan bahawa sunat seseorang itu mengulang-ulang sesuatu ayat al-Quran untuk bertadabbur dan seumpamanya. Perbuatan ini diamalkan oleh golongan para sahabat Nabi SAW dan juga golongan salafussoleh.

“Ibnu Mas’ud pernah beramal dengan mengulang ayat Rabbi zidni 'ilma. Imam As-Suyuti juga berpendapat harus mengulang-ulang sesuatu ayat sebagaimana Nabi SAW pernah mengulang-ulang satu ayat ketika solat,” katanya.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan Abu Zar Al-Ghifari, beliau berkata: “Rasulullah SAW pernah berdiri di dalam solat dengan membaca satu ayat yang baginda mengulang-ulangnya sehingga pagi.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Katanya, amalan mengulang ayat ke-58 sebanyak tiga atau tujuh kali apabila tiba pada ayat tersebut adalah dibolehkan, bahkan sunat mengulang-ulang ayat al-Quran terutamanya bagi tujuan tadabbur.

“Selain itu, turut digalakkan untuk berdoa dan meminta sebarang hajat kepada ALLAH SWT dengan menggunakan ayat al-Quran sebagai perantaraan agar doa dan hajat diperkenan oleh-NYA,” jelasnya.

Ia berdasarkan saranan Nabi Muhammad SAW ketika memohon sesuatu hajat dengan menjadikan al-Quran sebagai perantaraan agar ALLAH SWT menunaikan segala permintaan dan hajat seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Hussain RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

DIGALAKKAN untuk berdoa dan meminta sebarang hajat kepada ALLAH SWT dengan menggunakan ayat al-Quran sebagai perantaraan agar doa dan hajat diperkenan oleh-NYA. Foto CANVA
DIGALAKKAN untuk berdoa dan meminta sebarang hajat kepada ALLAH SWT dengan menggunakan ayat al-Quran sebagai perantaraan agar doa dan hajat diperkenan oleh-NYA. Foto CANVA

“Sesiapa yang membaca al-Quran, maka hendaklah ia meminta kepada ALLAH dengannya. Sesungguhnya akan datang suatu kaum, mereka membaca al-Quran kemudian mereka akan meminta-minta kepada manusia.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, Syeikh Al-Mubarakfuri menyarankan agar memohon kepada ALLAH SWT dengan perantaraan al-Quran dalam sesuatu perkara sama ada perkara dunia atau akhirat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!