Buruh didenda RM10,000, penjara empat bulan cuba rasuah polis

Tertuduh dibawa keluar daripada mahkamah selepas mendengar keputusan yang dijatuhkan kepadanya di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.
Tertuduh dibawa keluar daripada mahkamah selepas mendengar keputusan yang dijatuhkan kepadanya di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang buruh binaan didenda RM10,000 dan penjara empat bulan di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah memberi rasuah kepada anggota polis di Langkawi, Disember tahun lalu.

Tertuduh,Md Isham Desa, 36, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim N.Priscilla Hemamalini selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan suapan wang tunai RM1,000 kepada seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Kuah, Langkawi, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang dikatakan memiliki dadah jenis syabu dan heroin.

Kesalahan itu dilakukan dalam kereta jenis Honda Accord di luar Kedai Serbaneka 24 Jam Chois di Taman Sri Langkawi, Jalan Padang Matsirat, pada jam 2.30 pagi, 27 Disember 2023.

Oleh itu, dia telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) akta sama, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noor Azura Zulkiflee dan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut memerintahkan Md Isham dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar wang denda yang dikenakan.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan berita:

  • Hukuman: Md Isham Desa didenda RM10,000 dan penjara empat bulan.
  • Pengakuan: Mengaku bersalah cuba rasuah polis.
  • Kesalahan: Tawarkan RM1,000 untuk elak tindakan pemilikan dadah.
  • Lokasi: Kejadian di Langkawi, 27 Disember 2023.
  • Akta SPRM: Kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
  • Penjara Tambahan: Dua bulan jika gagal bayar denda.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!