Pembantu kedai makan ditemui tidak bernyawa dalam bilik
KUALA NERUS - Seorang pembantu kedai makan ditemui meninggal dunia dalam sebuah bilik di rumahnya dekat Kampung Batu Enam, di sini pada Isnin.
Mayat Hanafi Abu Bakar, 47, ditemui kira-kira jam 8 malam ketika anak saudaranya datang ke rumah itu untuk mengajaknya makan malam bersama.
Menurut Suhaizan Awang, 45, dia memanggil mangsa berkali-kali namun tiada jawapan sebelum mengambil keputusan memasuki bilik bapa saudaranya itu sekitar jam 7.45 malam.
"Saya ke rumahnya untuk ajak dia makan nasi bersama-sama namun panggilan saya tidak bersahut.
"Lepas masuk dalam bilik tu saya nampak dia terbaring kaku di atas katil. Saya panggil beberapa kali tiada respons.
"Saya pegang paha dia namun tiada sebarang pergerakan dan segera panggil sepupu untuk lihat keadaan dia," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.
Suhaizan berkata, kali terakhir dia melihat mangsa Sabtu lalu.
Jelasnya, berdasarkan pemeriksaan awal, bapa saudaranya itu dipercayai meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesah menerima laporan berhubung kejadian.
Katanya, setakat ini tiada unsur jenayah dikesan dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!