Mahkamah baharu Ampang siap selepas tujuh tahun

Ahmad (empat dari kanan) meninjau bangunan Mahkamah Ampang baharu yang dibina menggunakan kaedah sistem binaan berindustri (IBS).
Ahmad (empat dari kanan) meninjau bangunan Mahkamah Ampang baharu yang dibina menggunakan kaedah sistem binaan berindustri (IBS).
A
A
A

AMPANG - Pegawai Penguasa Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa memantau kontraktor terlibat tender kerajaan secara teliti bagi mengelak berlaku kelewatan penyiapan projek.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan membuat teguran itu sewaktu majlis penyerahan projek Mahkamah Ampang baharu di Pandan Indah di sini yang mengambil masa selama tujuh tahun untuk disiapkan.

Menurutnya, walaupun projek sakit hanya 2.8 peratus, namun angka tersebut sepatutnya boleh dikurangkan kepada 1 peratus.

"Kelewatan projek tidak sepatutnya berlaku, walaupun projek sakit hanya 2.8 peratus tapi terdapat banyak yang tidak disenarai kerana diberi Lanjutan Masa (Extension of Time atau EOT).

"EOT jangan dibiasakan kerana kontraktor akan sentiasa memberi 1001 alasan seperti faktor cuaca sedangkan masalah sebenar dihadapi disebabkan pengurusan tidak cekap," katanya pada majlis itu pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Awang Alik Jeman.

Ahmad berkata, sebanyak 14 sebab kelewatan projek disenaraikannya pada himpunan bulanan Kementerian Kewangan pada pagi Selasa.

"Pertamanya disebabkan pengambilan tanah dan terakhir kerana kelewatan kerajaan membuat pembayaran kepada JKR.

Artikel Berkaitan:

"Ini turut menyebabkan kontraktor lewat menerima pembayaran daripada JKR.

"Saya minta pegawai penguasa atau jurutera daerah mencari kaedah proaktif memberi nasihat dan panduan kepada kontraktor yang dikesan tidak mengikut jadual penyiapan projek ditetapkan," katanya.

Sementara itu beliau berkata, kelewatan penyiapan projek Mahkamah Ampang yang menelan belanja RM2.85 juta disebabkan kontraktor dilantik tidak berdaya maju.

"Kontraktor tersebut ditamatkan kontrak kerana tidak mencapai prestasi selain telah dikenakan dikenakan denda selama tiga bulan serta tidak berdaya maju.

"Kontraktor berkenaan telah disenarai hitam selama dua tahun daripada mendapat projek kerajaan," katanya.

Pembinaan projek itu telah bermula 9 Disember 2020 dan siap sepenuhnya pada 19 April lalu serta dijangka beroperasi April tahun depan.

Mahkamah Ampang antara sembilan projek institusi kehakiman yang dalam fasa pelaksanaan di seluruh negara membabitkan kos RM678 juta di bawah seliaan JKR.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!