[VIDEO] KPDN batalkan kad fleet jika salah guna

A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bertindak membatalkan mana-mana kad fleet bagi pembelian bahan api bersubsidi jika ia disalahgunakan.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil berkata, pihaknya mengesan modus operandi baharu penyelewengan bahan api bersubsidi menggunakan kad fleet bagi tujuan pembelian bukan untuk kenderaan yang digunakan.

Menurutnya, kes salah guna kad fleet tersebut setakat ini dikesan berlaku di Pulau Pinang dan Selangor dan ia sudah diambil tindakan oleh KPDN.

Shamsul Nizam (dua dari kanan) beramah mesra bersama pengusaha stesen minyak yang hadir ke Program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan Kepada Pengusaha Stesen Minyak di Negeri Perak di Dewan Utama KPTM Ipoh di sini pada Selasa.
Shamsul Nizam (dua dari kanan) beramah mesra bersama pengusaha stesen minyak yang hadir ke Program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan Kepada Pengusaha Stesen Minyak di Negeri Perak di Dewan Utama KPTM Ipoh di sini pada Selasa.

"Kita di pihak KPDN telah mengambil maklum dan telah pun mengambil tindakan terhadap pihak-pihak tertentu menyalahgunakan kad fleet tersebut dengan cara membeli menggunakan kad fleet tetapi bukan untuk kegunaan kenderaan tersebut.

"Kita akan mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sekiranya terbukti, kad fleet itu boleh dibatalkan dan diambil tindakan oleh KPDN terhadap pemegang kad fleet," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan Kepada Pengusaha Stesen Minyak di Negeri Perak di Dewan Utama Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Ipoh di sini pada Selasa.

Shamsul Nizam (dua dari kiri) menyampaikan Arahan Pengawal Bekalan kepada wakil pengusaha stesen minyak sempena Program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan Kepada Pengusaha Stesen Minyak di Negeri Perak di Dewan Utama KPTM Ipoh di sini pada Selasa.
Shamsul Nizam (dua dari kiri) menyampaikan Arahan Pengawal Bekalan kepada wakil pengusaha stesen minyak sempena Program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan Kepada Pengusaha Stesen Minyak di Negeri Perak di Dewan Utama KPTM Ipoh di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Shamsul Nizam berkata, pembelian minyak diesel menggunakan kad fleet membolehkan pengguna yang layak menikmati bahan api tersebut pada harga RM2.15 seliter berbanding harga semasa.

Jelasnya, bagi mengekang ketirisan subsidi bahan api itu berlaku, KPDN mengadakan program advokasi dan serahan Arahan Pengawal Bekalan kepada pengusaha stesen minyak di negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand.

Menurutnya, program tersebut telahpun diadakan di Kelantan, Perlis, Kedah dan Perak melibatkan pengurus-pengurus wilayah syarikat minyak serta pengusaha-pengusaha stesen minyak.

Shamsul Nizam berkata, Arahan Pengawal Bekalan itu diberikan sebagai peringatan kepada semua stesen minyak supaya mereka melaporkan kepada KPDN sekiranya terdapat mana-mana kenderaan mengisi minyak diesel atau petrol RON95 secara berulang.

"Saya mahu semua pihak bersama-sama membantu kementerian kerana kita tidaklah mahu mengambil tindakan sewenang-wenangnya kepada stesen minyak ini.

"Saya minta juga libat urus dibuat supaya maklumat dapat disalurkan tanpa menjejaskan perniagaan stesen minyak ini kerana kita faham bahawa sebelum ini stesen-stesen minyak ini mendapat ugutan dan ancaman," katanya.

Dalam pada itu, seramai kira-kira 400 pengusaha stesen minyak hadir ke Program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan Kepada Pengusaha Stesen Minyak bagi mendapatkan pencerahan lanjut mengenai pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!