HKHM 2024: Rakyat disyor muat naik video, gambar kibar Jalur Gemilang

Kementerian Perpaduan Negara melancarkan kempen 'Kibaran Jiwa Merdeka’ sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Kementerian Perpaduan Negara melancarkan kempen 'Kibaran Jiwa Merdeka’ sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia digalakkan untuk memuat naik video dan gambar mengibarkan Jalur Gemilang pada 31 Ogos dan 16 September depan di platform media sosial dengan #KibaranJiwaMerdeka.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam satu kenyataan berkata, kempen ‘Kibaran Jiwa Merdeka’ adalah sebahagian daripada usaha KPN untuk meningkatkan semangat patriotik dan cintakan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.

“Semua rakyat Malaysia yang berada dalam negara mahupun luar negara boleh mengambil bahagian dalam kempen Kibaran Jiwa Merdeka,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Dalam pada itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang memaklumkan, kemerdekaan sewajarnya difahami bukan hanya bebas daripada dijajah sebaliknya kemampuan rakyat menjalani kehidupan lebih baik dan memiliki semangat cinta negara.

Melalui konsep Malaysia Madani, beliau berkata, ia menjadi kunci utama bagi menyatukan rakyat yang berbilang bangsa dan agama.

“Saya berharap agar semua rakyat Malaysia dapat mengambil bahagian dalam kempen Kibaran Jiwa Merdeka ini.

“Diharapkan media sosial diserikan dengan gambar-gambar patriotik yang akan menjadi medan penyatuan rakyat Malaysia dan menanam pohon-pohon perpaduan,” ujarnya.

Pada 5 Jun lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengumumkan ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Fahmi berkata, pemilihan tema itu merupakan lambang kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati serta teguh jati dirinya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!