Lelaki cederakan isteri diarah jalani pemeriksaan mental
CHUKAI - Mahkamah Sesyen Kemaman di sini pada Selasa mengarahkan seorang lelaki yang didakwa mencederakan isterinya pada Jumaat lepas untuk menjalani pemeriksaan mental.
Hakim Wan Suhaila Mohd mengeluarkan arahan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syafiqah Noorinda supaya Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 46, mendapatkan pemeriksaan mental, setelah lelaki itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Nur Syafiqah berkata, ia bagi memastikan keadaan lelaki itu ketika dia melakukan kesalahan tersebut, kerana menurut rekod kesihatan Ahmad Nor sebelum ini pernah mendapatkan rawatan psikiatri, namun berhenti menerimanya pada Mei tahun lepas.
Ahmad Nor didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 43 tahun di bahagian kepala, pipi, tangan dan belakang badan dengan menggunakan tangan dan kaki.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tanjung Bukit Mentok, di sini pada jam 5.52 petang, 16 Ogos lepas, dan dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Selain memohon tertuduh menjalani pemeriksaan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, Nur Syafiqah juga tidak menawarkan jaminan terhadap lelaki itu, yang tidak diwakili peguam.
Wan Suhaila kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 23 September ini.
Sementara itu, dalam kes berasingan Wan Suhaila menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula kes Norulhuda Sofia Muda, 26, yang sebelum ini didakwa melakukan penganiayaan dengan menyebabkan anak perempuannya yang berusia enam tahun cedera fizikal.
Dia didakwa menarik rambut dan kepala serta mengangkat badan anaknya itu lalu menghayun kanak-kanak berkenaan keluar melalui tingkap sehingga terjatuh ke atas tanah di Kampung Air Jabor Kubur, di sini, 13 Julai lepas.
Prosiding sebutan semula yang dijadualkan pada Selasa bagaimanapun terpaksa ditunda kerana laporan pemeriksaan mental wanita itu masih belum diterima.
Dalam prosiding sebelum ini, mahkamah menolak pengakuan bersalah Norulhuda Sofia kerana keadaan wanita itu yang beremosi, seolah-olah tidak memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Wan Suhaila. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!