'Masuk kerja tepat waktu hapus imej negatif kakitangan kerajaan'

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Pelarasan gaji diharap memberikan motivasi kepada penjawat awam untuk bekerja keras bagi mencapai dasar Madani ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, David Cheong berkata, beliau menyambut baik gesaan perdana menteri agar penjawat awam untuk lebih bersemangat, berdisiplin dan masuk kerja tepat pada waktunya.

Menurutnya, arahan tersebut dilihat langkah awal yang dapat menghapuskan imej negatif rakyat kepada penjawat awam.

"Dalam memastikan dasar progresif Madani dapat dicapai, reformasi penjawat awam perlu dilakukan dalam memastikan Malaysia mampu bersaing dengan negara luar terutama negara maju.

"Harapan saya kepada penjawat awam adalah teruskan melakukan usaha yang terbaik dan melaporkan mana-mana penjawat awam yang tidak menjalankan tugas mereka secara profesional

sepertimana yang ditekankan oleh perdana menteri," katanya menerusi kenyataan.

Pada Jumaat, Anwar mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Sementara pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi adalah sebanyak tujuh peratus.

Artikel Berkaitan:

Pelarasan gaji itu akan dibuat secara berfasa iaitu fasa 1 pada 1 Disember 2024 manakala fasa 2 pula pada 1 Januari 2026.

David berkata, dalam memajukan negara, beban itu perlu dipikul oleh semua masyarakat dan bukan kepada penjawat awam semata-mata.

Ujarnya, sikap profesional perdana menteri perlu dijadikan contoh dan ikutan kepada semua rakyat Malaysia dalam membangunkan negara secara bersama.

"Mari kita bersama-sama menyatukan tenaga dalam membangunkan Malaysia melalui dasar Madani demi kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!