Sektor swasta digesa beri gaji minimum RM2,000 - LLRC

LLRC dalam satu kenyataan pada Selasa menggesa sektor swasta menyediakan gaji minimum RM2,000 dengan segera.
LLRC dalam satu kenyataan pada Selasa menggesa sektor swasta menyediakan gaji minimum RM2,000 dengan segera.
A
A
A

SHAH ALAM - Sektor swasta digesa untuk menyediakan gaji minimum RM2,000 dengan segera bagi meringankan bebas kos sara hidup yang semakin tinggi.

Setiausaha Agung Pertubuhan Solidariti Pekerja dan Sumber Pembelajaran (LLRC), N Gopal Kishnam berkata, gesaan tersebut dilakukan susulan pengumuman gaji minimum penjawat awam telah diselaraskan melebihi RM2,000.

“Kerajaan juga digesa untuk melaksanakan dasar gaji minimum RM2,000 dalam Belanjawan 2025 yang akan diumumkan pada akhir tahun ini bagi membantu pekerja untuk mengurangkan beban.

“LLRC menyeru agar syarikat swasta terutama syarikat tersenarai dan syarikat multinasional (MNC) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberikan gaji sebanyak RM2,700 iaitu gaji kehidupan yang disarankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, sumbangan komponen pampasan pekerja (PP) menurun dengan mendadak sejak tahun 2020 dengan nisbah PP berkurangan daripada 37.4 peratus pada tahun 2020 kepada 35.1 peratus (2021) dan 32.4 peratus (2022).

Menurutnya, keadaan itu perlu dilihat secara serius dan menunjukkan gaji pekerja di Malaysia telah ditekan sepanjang tempoh tersebut walaupun produktiviti pekerja meningkat dan ini adalah masa tepat membetulkan hal berkenaan.

“LLRC menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada sektor swasta untuk meningkatkan gaji pekerja dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19.

“Dalam pengumuman kenaikan gaji oleh Perdana Menteri untuk sektor awam, beliau telah mengatakan bahawa tiada alasan untuk gaji bulanan kurang daripada RM2,000 bagi seorang pekerja,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Gopal turut mengulas mengenai kenyataan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkenaan syor mengenai kadar gaji minimum yang baharu dijangka akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet bulan September.

Katanya, kerajaan perlu segera menyemak semula gaji minimum kepada RM2,000 pada peringkat awal bagi merealisasikan kerangka Ekonomi Madani yang menyasarkan peningkatan gaji kepada 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2030.

“Dasar itu perlu dimasukkan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada sidang Parlimen Oktober tahun ini bagi meningkatkan kualiti kehidupan pekerja supaya mereka boleh hidup secara bermaruah,” jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!