Henti bangkitkan isu keabsahan PM - Amanah

Tangkap layar akhbar Sinar Harian pada Ahad.
Tangkap layar akhbar Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa Perikatan Nasional (PN) supaya berhenti membangkitkan isu keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengelirukan rakyat dengan fakta serta undang-undang yang tidak menyakinkan.

Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, rakyat seharusnya dididik untuk fokus kepada usaha membangunkan negara dan pemulihan ekonomi.

Menurutnya, agenda yang sedang diusahakan Anwar bersama pasukan Kerajaan Perpaduan kini seharusnya mendapat sokongan dan pengiktirafan semua pihak.

"PN dan ahlinya perlu menerima hakikat bahawa Anwar mempunyai majoriti kukuh sebagai Perdana Menteri Malaysia. Tindakan Muhyiddin yang menghina kewibawaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat mendukacitakan.

"Hakikatnya, Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas meneliti sokongan ahli Parlimen dan pandangan pakar-pakar Perlembagaan dan Majlis Raja-raja," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz memaklumkan, Pakatan Harapan (PH) yang memenangi 82 kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, diberikan peluang untuk membentuk kerajaan.

Namun katanya, Muhyiddin dan PN menolak idea pembentukan kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Sultan Abdullah.

"Anwar Ibrahim telah membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen menerusi usul percaya pada 19 Disember 2022 dan ketika ini disokong 153 ahli Parlimen.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan ini adalah selari dengan maksud Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 40 (2) dan 43 (2). Namun, ketika berlaku langkah sheraton dan sepanjang pentadbiran Muhyiddin, tidak pula berlaku usul undi percaya di Parlimen, kenapa Muhyiddin tidak berani ketika itu?," ujarnya.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, proses keabsahan sokongan majoriti seseorang PM adalah sangat penting dalam amalan demokrasi tulen bagi mewujudkan kestabilan politik dalam keadaan tidak ada mana-mana parti memperolehi majoriti cukup (112 kerusi Parlimen).

Menurutnya, kestabilan politik di bawah pimpinan PM Anwar Ibrahim telah mendorong Malaysia mencatatkan kejayaan dalam pelbagai aspek.

"Antaranya, buat dua suku tahun berturut-turut, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara melangkaui jangkaan pakar. Paling baru, KDNK Malaysia melonjak 5.9 peratus pada suku kedua 2024.

"Susulan itu, OCBC, RHB Research, Hong Leong Investment Bank Research dan BMI Research telah menaikkan ramalan pertumbuhan KDNK untuk tahun ini.

"Pasaran saham Bursa Malaysia juga sedang melonjak sejak pertengahan 2023 sehingga sekarang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turut meningkat lebih 19 peratus. Ringgit pula kukuh ke paras 4.37 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan ringgit adalah mata wang paling berprestasi positif tahun ini dalam kalangan mata wang Asia," ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, Polis Pahang menerima sebanyak 28 laporan terhadap Muhyiddin yang menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, data tersebut direkodkan pihaknya setakat Sabtu.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, Muhyiddin selaku individu berpengalaman dalam bidang politik, tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan menyentuh institusi diraja dan perlu menjadi contoh yang baik kepada pemimpin muda.

Ujarnya, isu itu tidak seharusnya timbul dan beliau sepatutnya lebih berhati-hati.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!