Zii Jia tersingkir awal di Jepun
PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia yang masih segar dengan pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 tersingkir daripada saingan Terbuka Jepun apabila tewas mengejut kepada wakil Perancis, Alex Lanier pada pusingan pertama sebentar tadi.
Keputusan yang tidak diduga tersebut menyaksikan pemain berusia 26 tahun itu tewas straight set di Arena Yokohama.
Ia merupakan pertemuan kali pertama antara mereka dengan Lanier yang menghuni ranking ke-29 dunia memimpin permainan 9-3 sebelum melebar jurang mata kepada 17-12.
Biarpun Zii Jia cuba mengejar, namun Lanier memastikan kemenangan 21-18 pada set pertama menjadi miliknya.
Pemain berusia 19 tahun itu terus mendahului pada set kedua 11-10 sebelum Zii Jia mengikat mata 12-12.
Bagaimanapun, permainan agresif Lanier menyekat perjuangan Zii Jia yang terpaksa akur tewas 21-13 pada set kedua.
Lanier bakal menentang pemain Indonesia, Chico Aura Dwi Rahayu yang mengalahkan Arnaud Merkle dari Peracis 21-19, 21-17 pada pusingan kedua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!