Permohonan permit pekerja dibatal, lebih 170 majikan rugi ratusan ribu ringgit
PUTRAJAYA - Permohonan permit pekerja asing didakwa dibatalkan secara serta-merta menyebabkan lebih 170 majikan mengalami kerugian hingga ratusan ribu ringgit.
Salah seorang majikan, Iskandar Zulkarnain Ibrahim, 43, berkata, syarikat hampir menyelesaikan proses permohonan yang panjang, namun status ‘bayar’ berubah menjadi ‘batal’.
Menurutnya, lebih menghampakan pihak majikan adalah status yang sudah diluluskan bertukar ‘batal’ menyebabkan mereka mengalami kerugian sehingga ratusan ribu ringgit.
“Apabila berlaku pembatalan, status pekerja ini akan berubah menjadi pekerja asing dan ia salah.
“Kami mula rasa bimbang sebab perkara ini boleh menggugat keselamatan pekerja dan majikan terutama masyarakat setempat.
“Setiap perniagaan memerlukan pekerja. Kalau tiada pekerja, memang rugi,” katanya semasa sesi tandatangan petisyen bagi merayu beberapa isu yang perlu diselesaikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Selasa.
Petisyen berkenaan ditandatangani di restoran makanan segera di sini dan dihantar menerusi wakil majikan kepada pihak KDN bagi merayu permohonan tersebut diselesaikan.
Rayuan lain yang perlu diketengahkan oleh KDN adalah pembayaran dalam talian tidak berfungsi, kelulusan kuota program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) disaat akhir, penutupan kaunter di Jabatan Imigresen (JIM) ditutup tanpa pemakluman dan kelulusan fomema melebihi tarikh tamat bayaran.
Iskandar Zulkarnain memberitahu, kesemua majikan bersepakat meminta pihak JIM untuk menyelesaikan perkara yang dimulakan dengan program RTK tersebut.
“Jadi, jangan buat sekadar separuh jalan. Sepatutnya diberikan ruang untuk selesaikan sehabis-habisnya program ini.
“Ini perkara yang mustahak dan kami meminta KDN juga dapat membantu menyelesaikannya,” tambahnya.
Sementara itu, majikan lain, Nurul Hidayah Abdullah, 33, berkata, pembayaran untuk menyelesaikan proses permohonan permit juga dihadkan kepada RM30,000 sehari.
Ujarnya, jumlah selebihnya perlu dilakukan pada hari berlainan menyebabkan mereka terpaksa berulang-alik menguruskan proses tersebut.
“Pembayaran untuk setiap pekerja dihadkan, bayangkan majikan perlu ulang-alik ke JIM semata-mata untuk menguruskan pembayaran sahaja.
“Proses lain masih banyak, jadi majikan perlu menyelesaikan segera. Sekiranya berlaku pembatalan seperti ini, rugilah kami,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!