Penjawat awam Selangor terima pelarasan gaji sama seperti Persekutuan
SABAK BERNAM - Penjawat awam di Selangor bakal menerima pelarasan gaji sama seperti yang diumumkan Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah dan kadar peratusan itu dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember ini dan 1 Januari 2026.
"Kita telah bersedia dan ketika ini sedang mengira impak kewangan bagi pelarasan gaji tersebut," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) di Dewan Tun Razak, Jalan Raja Chulan di sini pada Selasa.
Amirudin berkata, kerajaan negeri sememangnya sudah bersedia dengan penambahan peruntukan yang diperlukan bagi membiayai gaji penjawat awam di negeri ini.
Ditanya mengenai tarikh pengumuman berhubung pelarasan gaji penjawat awam di Selangor, Amirudin memberitahu ia memerlukan masa sebelum pengumuman dibuat.
"Apabila semuanya sudah siap, kita akan umumkan kepada penjawat awam negeri ini dan ia masih terlalu awal kerana pelaksanaannya pada Disember nanti," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!