Pindaan Akta 166 dijangka dibentang Oktober depan - BHEUU
PUTRAJAYA - Pindaan terhadap Akta Profesion Undang-undang 1976 (Akta 166), jika dipersetujui oleh Jemaah Menteri, akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat Oktober depan, dan dijangka memanfaatkan 23,000 pengamal undang-undang dalam negara.
Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan satu Memorandum Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan persetujuan juga akan dibawa kelak bagi pindaan yang dicadangkan kepada Akta 166.
BHEUU berkata, bagi tujuan itu satu pertemuan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Majlis Peguam Malaysia (MPM) telah diadakan semalam bagi membincangkan beberapa penambahbaikan yang perlu terhadap Akta 166 dan langkah pengukuhan perkhidmatan guaman dalam menempuh cabaran dunia masa depan.
"Pertemuan itu membincangkan beberapa perkara dalam Akta 166 yang memerlukan beberapa penambahbaikan iaitu perkongsian guaman liabiliti terhad, pusat bantuan guaman MPM, pindaan kepada seksyen 77 mengenai kuasa MPM dengan kelulusan Peguam Negara, dan pindaan kepada seksyen 11, 15, dan 36 mengenai latihan dalam kamar (pupillage),” kata BHEUU.
Selain itu, MPM juga telah membentangkan cadangan penubuhan Persatuan Peguam-Peguam Antara Negara-Negara Anggota ASEAN.
Perbincangan lanjut juga telah diadakan mengenai hala tuju penggubalan suatu akta baharu berkaitan dengan bantuan guaman yang akan mengambil kira aspek pembelaan awam bagi kes jenayah yang sedang dikendalikan oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) melalui pembentangan dari Jabatan Bantuan Guaman.
BHEUU berkata, kerajaan berpandangan bahawa MPM harus diberi ruang untuk menentukan hala tuju sendiri yang jelas dalam menjaga hal ehwal profesion undang-undang termasuk urusan pentadbiran dan kebajikan ahlinya.
Sesi itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran dan Yang Dipertua MPM, Mohamad Ezri Abdul Wahab. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!