Kilang besi gaji PATI lebih lima bulan diserbu
KOTA BHARU - Sebuah kilang besi di kawasan perindustrian Stepanol Batu Jong, Kuala Krai diserbu selepas didapati menggunakan khidmat Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sejak lebih lima bulan lalu.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Basri Othman berkata, ketika serbuan kira-kira jam 9.10 pagi Selasa itu mendapati, warga China antara paling ramai ditahan iaitu 70 orang, diikuti Bangladesh (28), Myanmar (11), Pakistan (2) dan Thailand (1).
Menurut beliau, kesemua mereka yang berusia di antara 24 hingga hingga 50 tahun dipercayai dibayar gaji minimum RM1,000 dan berdasarkan kemahiran PATI berkenaan.
"Pemeriksaan mendapati kesemua mereka melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan tiada dokumen sah," katanya.
Katanya, ketika serbuan ada PATI yang cuba meloloskan diri namun gagal kerana pasukan operasi sudah mengepung kawasan berkenaan selepas melakukan risikan selama dua minggu.
Tambah Basri, pihaknya sedang melakukan siasatan ke atas operasi kilang terbabit dan akan memanggil pemilik premis yang dipercayai warga tempatan.
"Kita tidak akan berkompromi dengan majikan yang memberi peluang kepada PATI itu dan akan dipanggil bagi membantu siasatan," katanya.
Jelas beliau lagi, kesemua PATI yang ditahan akan dihantar ke Depot Imigresen Kelantan untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!