Pegawai kanan agensi kerajaan direman buat tuntutan palsu
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang pegawai kanan sebuah agensi berkaitan kerajaan kerana disyaki membuat tuntutan mengandungi butiran matan palsu bernilai RM15,000 pada Selasa.
Menurut sumber, perintah reman selama lima hari sehingga Sabtu yang dikenakan ke atas suspek telah dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret 2 Shah Alam pagi Selasa.
Sumber berkata, suspek lelaki berusia sekitar 40-an telah ditahan kira-kira jam 3 petang pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
"Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2022 hingga 2023.
"Suspek dipercayai mengemukakan sebut harga, nota penghantaran, invois dan resit bayaran tunai dari sebuah syarikat, sedangkan pembekalan dan perolehan tidak pernah dilaksanakan syarikat terbabit," katanya pada Selasa.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!