Polis giat cari tiga individu bantu siasatan kes samun di Tanjung Malim

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

IPOH - Polis sedang mengesan tiga lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan parang di sebuah rumah di Taman Bernam Baru, Tanjung Malim dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, buat masa ini, pihaknya telah menemukan sebuah kereta Proton X50 yang dilarikan ketiga-tiga suspek, di sebuah ladang sawit sekitar Ulu Selangor sekitar 12.15 tengah malam, semalam.

"Kereta berkenaan merupakan antara barang yang disamun di rumah tersebut dan ia ditemukan oleh anggota polis selepas menerima aduan orang awam.

"Operasi mengesan ketiga-tiga suspek ini kita sedang lakukan dan kita juga tidak menolak kemungkinan mereka ini ada di kawasan berhampiran termasuk di sempadan antara Muallim dan Ulu Selangor,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Selasa.

Semalam, seorang wanita serta anak perempuannya berdepan detik cemas, apabila disamun tiga orang lelaki sekitar jam 3.30 pagi di kediaman mereka di Taman Bernam Baru.

Antara barang yang dilarikan ialah sebuah kereta Proton X50, wang tunai RM4,000, barang kemas, dua buah telefon bimbit, dua buah tablet dan lain-lain.

Mohd Hasni berkata, setakat ini nilai kerugian yang ditanggung mangsa yang merupakan seorang guru, berjumlah lebih RM50,000.

Sementara itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai bukti berkaitan kejadian samun itu untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Muallim atau balai polis sekitar untuk membantu siasatan, bagi membolehkan kes itu dengan kadar segera dan mengikut tindakan perundangan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hasni berkata, pihak yang mempunyai bukti dan maklumat kejadian, diharapkan dapat berhubung dengan pegawai penyiasat kes Inspektor Abdul Hafiz di talian 018-2734926 - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!