Semakan CCTV temukan dua budak terperangkap dalam lif

Dua kanak-kanak yang terperangkap dalam lif sebuah apartment di Desa Petaling, Kuala Lumpur.
Dua kanak-kanak yang terperangkap dalam lif sebuah apartment di Desa Petaling, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) oleh pihak pengurusan sebuah pangsapuri dekat Taman Desa Petaling, Cheras pada Isnin menemukan dua kanak-kanak yang terperangkap di lif tingkat empat kediaman terbabit.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban Singh berkata, laporan polis berkaitan kehilangan dua kanak-kanak terbabit sebelum itu diterima kira-kira jam 9.26 malam.

Beliau berkata, dua kanak-kanak itu yang masing-masing berumur 10 dan 11 tahun dilaporkan telah hilang selepas keluar dari rumah di pangsapuri berkenaan.

"Siasatan mendapati dua kanak-kanak terbabit keluar rumah kira-kira jam 2 petang untuk membeli makanan dan tidak pulang ke rumah sehingga laporan polis dibuat.

"Tindakan hebahan melalui media sosial juga telah dibuat oleh keluarga mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Rakaman CCTV memaparkan kejadian dua kanak-kanak yang terperangkap dalam lif sebuah apartment di Desa Petaling, Kuala Lumpur.
Rakaman CCTV memaparkan kejadian dua kanak-kanak yang terperangkap dalam lif sebuah apartment di Desa Petaling, Kuala Lumpur.

Katanya, semakan kemudiannya dijalankan kira-kira jam 12.30 tengah malam menerusi rakaman CCTV di lif dekat pangsapuri berkenaan.

"Kedua-dua mangsa kemudiannya berjaya dikesan terperangkap dalam lif di tingkat empat pangsapuri itu.

Artikel Berkaitan:

"Seterusnya, pihak pengurusan pangsapuri mengeluarkan kedua mangsa dari lif dalam keadaan selamat dan menyerahkan mangsa kepada keluarga masing-masing," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan dua kanak-kanak lelaki yang pada mulanya disangka hilang, rupa-rupanya terperangkap kira-kira sembilan jam dalam lif sebuah apartmen di sini pada Isnin.

Ringkasan berita:

  • Lokasi dan Tarikh: Taman Desa Petaling, Cheras; Isnin.
  • Peristiwa: Dua kanak-kanak berumur 10 dan 11 tahun terperangkap dalam lif pangsapuri.
  • Kejadian: Kanak-kanak hilang selepas keluar dari rumah sekitar jam 2 petang untuk membeli makanan.
  • Laporan Polis: Diterima sekitar jam 9.26 malam.
  • Hebahan: Keluarga menggunakan media sosial untuk mencari mereka.
  • Penemuan: CCTV mendapati mereka terperangkap di lif tingkat empat kira-kira jam 12.30 tengah malam.
  • Tindakan: Pengurusan pangsapuri berjaya mengeluarkan mereka dalam keadaan selamat dan menyerahkan kepada keluarga.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!