Mahkamah kekalkan sabitan bekas setiausaha kem Nazi berusia 99 tahun

Irmgard F. Foto Fail AFP
Irmgard F. Foto Fail AFP
A
A
A

LEIPZIG (Jerman) - Mahkamah Persekutuan Jerman pada Selasa mengekalkan sabitan terhadap seorang bekas setiausaha berusia 99 tahun di kem tahanan Stutthof kerana bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai lebih 10,000 orang antara Jun 1943 hingga April 1945, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Mahkamah yang bersidang di Bandar Leipzig, timur Jerman, menolak rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Wilayah Itzehoe, di utara Hamburg, pada Disember 2022.

Mahkamah wilayah itu telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun yang ditangguhkan ke atas wanita terbabit atas kesalahan bersubahat membunuh dalam 10,505 kes dan cubaan membunuh dalam lima kes.

Wanita itu, yang dikenali sebagai Irmgard F di bawah undang-undang privasi Jerman, menerima hukuman juvenil kerana dia berusia di bawah 21 tahun pada masa jenayah itu dilakukan. Keputusan pada Selasa itu adalah muktamad.

Kes ini mungkin dianggap sebagai perbicaraan jenayah terakhir menangani pembunuhan beramai-ramai oleh Nazi.

Irmgard F bekerja sebagai jurutaip di pejabat komandan kem tahanan Nazi Stutthof berhampiran yang ketika itu dikenali sebagai Free City of Danzig - kini Gdańsk di Poland - ketika dia berusia antara 18 hingga 19 tahun.

Mahkamah wilayah itu memutuskan bahawa melalui kerjanya, wanita muda itu telah membantu pegawai kem terbabit dalam pembunuhan sistematik tahanan. Selain itu, aktiviti sokongan juga boleh dilihat secara sah sebagai bersubahat dalam pembunuhan. - Bernama-dpa

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!