Lelaki warga emas hilang ketika menjala udang ditemukan lemas

Warga emas yang hilang selepas terjatuh ke dalam sungai ketika menjala udang di Kuala Sala, Yan, pada Isnin, ditemukan lemas. Gambar hiasan
Warga emas yang hilang selepas terjatuh ke dalam sungai ketika menjala udang di Kuala Sala, Yan, pada Isnin, ditemukan lemas. Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Warga emas yang hilang selepas terjatuh ke dalam sungai ketika menjala udang di Kuala Sala, Yan, pada Isnin, ditemukan lemas petang tadi.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, mayat Ahmad Hashim, 71, ditemukan pada pukul 3.45 petang kira-kira 1.6 kilometer dari tempat warga emas itu dipercayai jatuh.

Beliau berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.26 malam oleh ahli keluarga yang memaklumkan bahawa warga emas itu masih belum pulang daripada menjala udang, dan disyaki jatuh ke dalam sungai.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sejak semalam membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam selain penduduk kampung,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

"Operasi yang disambung hari ini berjaya menemukan mayat warga emas itu dan proses pengecaman telah dilakukan oleh anak lelakinya. Mayat telah dihantar ke Hospital Yan untuk proses bedah siasat dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.50 petang," menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!