'Gatal tangan' curi ubat RM75.42, warga Itali ditahan
SEPANG - Seorang lelaki warga Itali berusia 58 tahun ditahan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana disyaki mencuri di sebuah kedai serbaneka pada Isnin.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari'at berkata, dalam kejadian jam 5.20 petang itu, seorang pekerja kedai serbaneka membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati suspek mengambil barangan tanpa membuat pembayaran.
Beliau berkata, suspek telah mengambil sekotak ubat Fluimucila berharga RM45.90 dan sekotak ubat Gaviscon (RM29.52).
"Pekerja tersebut telah memaklumkan kepada pengurus kedai dan telah membuat laporan polis jam 6.29 petang.
"Berdasarkan maklumat dan dipandu arah oleh pekerja tersebut, pegawai penyiasat bersama anggota polis telah menangkap suspek yang sedang berada di aras 2, Terminal 2 KLIA," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, pihaknya telah merampas barang kes iaitu satu kotak ubat Fluimucila 600 miligram, satu kotak ubat Gaviscon serta satu beg bewarna kelabu.
Katanya, tahanan reman dibenarkan selama tiga hari oleh pihak Majisteret sehingga Jumaat bagi siasatan lanjut.
Tambahnya lagi, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!