Air mata Biden menjelang hari-hari terakhir di Rumah Putih

Biden juga berjanji menjadi ‘sukarelawan terbaik’ buat gandingan Harris-Walz. Foto Agensi
Biden juga berjanji menjadi ‘sukarelawan terbaik’ buat gandingan Harris-Walz. Foto Agensi
A
A
A

CHICAGO - “Saya sudah menyerahkan sepenuh jiwa dan raga kepada negara ini.”

Ucapan itu disampaikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden ketika beliau sekali lagi menzahirkan sokongan terhadap Kamala Harris untuk bersaing dengan Donald Trump bagi merebut jawatan ke Rumah Putih pada November depan.

Kemunculan Biden, 81, pada Selasa di majlis pembukaan Konvensyen Nasional Demokrat di Chicago turut mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong parti tersebut, malah ucapan perpisahan beliau mencuri tumpuan ramai memandangkan penggal pentadbirannya hanya berbaki kira-kira lima bulan lagi.

Beliau turut menyeka air matanya ketika diperkenalkan oleh anak perempuannya sambil menunjukkan simbol hati kepada Presiden ke-46 AS itu.

“Adakah anda sudah bersedia mengundi untuk kebebasan? Adakah anda bersedia mengundi untuk demokrasi dan demi Amerika? Izinkan saya bertanya lagi, adakah anda sudah bersedia untuk memilih Kamala Harris dan Gabenor Minnesota, Tim Walz yang menjadi pasangan regu beliau?” ujarnya.

Ucapannya itu disambut sorakan penyokong Demokrat ketika mengesahkan baton bakal diserahkan kepada pemimpin wanita itu sebagai simbol peralihan kuasa.

Menerusi ucapan tersebut, Biden juga berjanji menjadi ‘sukarelawan terbaik’ buat gandingan berkenaan ketika beliau terus mengutuk Trump yang acap kali memperlekeh tahap kesihatan mentalnya.

Beliau juga menyatakan tidak mengambil hati ketika berdepan desakan banyak pihak yang menuntut pengundurannya sebagai calon sebelum keputusan muktamad untuk menarik diri daripada menyertai semula Pilihan Raya Presiden AS dibuat bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

“Saya sayangkan peranan itu, namun saya lebih cintakan negara ini,” ujarnya yang turut berbangga dengan pencapaian di bawah tampuk kepimpinannya termasuk menggalakkan ekonomi dan memperkukuhkan pakatan AS di luar negara meskipun dikutuk komuniti antarabangsa kerana berterusan mempertahankan sekutu kuatnya, Israel.

Biden yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran bekas Presiden Barack Obama menggesa Demokrat supaya bersatu di belakang Harris yang bakal menjadi Presiden wanita pertama AS jika kemenangan berpihak kepadanya.

Ketika ini sokongan dan sumbangan dana terus meningkat terhadap Naib Presiden AS tersebut selepas dinamakan sebagai calon Demokrat dan bakal menjadi pesaing sengit kepada Trump yang mewakili Parti Republikan. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!