Guru, murid SK Padang Jawa redah banjir kilat
SHAH ALAM - Sesi pembelajaran sesi petang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa di sini terbantut selepas kawasan sekolah berkenaan ditenggelami banjir ekoran hujan berterusan pada Selasa.
Beberapa video memaparkan murid dibantu beberapa guru meredah banjir tular di media sosial.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam ke lokasi kejadian sekitar jam 5 petang semasa membuat rondaan ekoran hujan lebat dan berterusan.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi mendapati banjir kilat dianggarkan setinggi 0.7 meter itu berlaku disebabkan sistem longkang tersumbat akibat dipenuhi sampah sarap.
"Anggota bertugas bertindak melakukan pembersihan pada laluan longkang sehingga laluan keluar air dapat berfungsi sepenuhnya.
"Tiada mangsa (terperangkap) dalam kejadian dan air mulai surut jam 5.37 petang sebelum anggota bergerak pulang ke balai," katanya pada Selasa.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron menerusi kemas kini di Facebook memaklumkan, susulan banjir kilat di Padang Jawa, semua agensi akan dikerahkan bagi mengatasi masalah berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!